SEORANG kanak-kanak bermain di kawasan bekas tapak aktiviti perlombongan bauksit yang ditinggalkan dan ditakungi air selepas hujan berterusan dua hari lepas di kawasan Felda Bukit Goh. FOTO Shafiq Zain
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Empat individu termasuk seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk selesai diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan membabitkan kes rasuah perlombongan bauksit di Pahang.

Perkara itu disahkan oleh peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili dua daripada empat individu terbabit.

Difahamkan, semua individu berusia antara 34 hingga 50 tahun itu dibebaskan kira-kira jam 10.30 pagi selepas tempoh tahanan reman mereka tamat hari ini.

Khamis lalu, Majistret Eric Lau membenarkan perintah tahanan reman selama empat hari terhadap empat individu terbabit bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah perlombongan bauksit di Pahang.

Selain Datuk yang juga bekas pegawai kanan sebuah agensi kerajaan, mereka yang turut direman ialah seorang wanita pekerja sebuah syarikat perlombongan, seorang peguam dan seorang penjawat awam yang juga pegawai kanan di Jabatan Mineral dan Geosains Pahang.

Semua individu itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu berkaitan perlombongan bauksit di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 12:44 PM