FOTO Shafiq Zain
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Seorang peguam yang dibebaskan kira-kira 10.30 pagi tadi ditahan semula oleh beberapa pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kuantan, Pahang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada tengahari hari ini.

Jurucakap SPRM berkata, peguam itu ditahan semula jam 12.40 tengahari serta dibawa ke Pejabat SPRM Kuantan, Pahang.

"Dia ditahan semula bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes perlombongan bauksit secara haram di Kuantan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, peguam terbabit antara empat individu dibebaskan SPRM kira-kira jam 10.30 pagi, di sini selepas tempoh tahanan reman mereka tamat hari ini.

Khamis lalu, Majistret Eric Lau membenarkan perintah tahanan reman selama empat hari terhadap empat individu terbabit bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah perlombongan bauksit di Pahang.

Mereka ialah seorang Datuk yang juga bekas pegawai kanan sebuah agensi kerajaan, seorang wanita pekerja sebuah syarikat perlombongan, seorang penjawat awam yang juga pegawai kanan di Jabatan Jabatan Mineral dan Geosains Pahang serta peguam terbabit.

Semua individu itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu berkaitan perlombongan bauksit di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 3:23 PM