Motegi: Pelumba Itali, Andrea Dovizioso (gambar) memecut saat akhir merampas kedudukan petak utama sesi kelayakan Q2 Grand Prix MotoGP Jepun, semalam, mengatasi Valentino Rossi dan Dani Pedrosa yang melengkapkan kedudukan petak depan perlumbaan, hari ini.

Dovizioso mencatat rekod baru sepusingan terpantas di sirkit Twin Ring Motegi, merakam masa 1 minit 44.502s, memberikan Ducati kedudukan petak utama sejak Casey Stoner kali terakhir melakukannya di Valencia pada 2010.

Berada di belakang Dovizioso pelumba Movistar Yamaha, Rossi mencatat masa terpantas petak utama pada sesi lebih awal yang kembali bangkit, hanya ketinggalan 0.055s di belakang rakan senegaranya.

Biarpun terjatuh pada selekoh ke-12 pada sesi terakhir Pedrosa, pelumba Sepanyol memacu Repsol Honda layak mengisi petak depan, ketinggalan suku saat di belakang Dovizioso menyaksikan tiga pengeluar berbeza mengisi barisan depan.

Juara bertahan, Marc Marquez (Repsol Honda) akan berlepas daripada petak keempat, ketinggalan 0.02s di belakang rakan sepasukannya itu.

Pemenang GP Aragon, Jorge Lorenzo (Movistar Yamaha MotoGP) akan bermula petak kelima, ketinggalan 0.282s. Barisan kedua diisi oleh Andrea Iannone (Pramac Racing), turut memanfaatkan kelebihan tayar belakang lebih lembut seperti dilakukan oleh Dovizioso.

Pol Espargaro (Monster Yamaha Tech3), Cal Crutchlow (Ducati Team) dan Stefan Bradl (LCR Honda MotoGP) akan mengisi baris ketiga sementara Bradley Smith (Monster Yamaha Tech3) akan berlepas daripada petak ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 12:31 AM