Gadis (kiri) yang ditahan selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah dalam operasi bersepadu di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya, Melaka. Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Seramai 10 individu termasuk gadis berusia 21 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi bersepadu di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira 4.30 pagi itu, dijalankan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama beberapa agensi kerajaan yang lain termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Jurucakap AADK berkata, dari 30 pelanggan yang diarahkan menjalankan ujian saringan air kencing, 10 didapati positif dadah.

"Sembilan pelanggan didapati positif methamphetamine manakala seorang lagi di bawah pengaruh ganja. Mereka yang ditahan berusia 20 hingga 56 tahun.

"Mereka yang positif methamphetamine diserahkan kepada polis untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki yang didapati positif ganja dibawa ke pejabat AADK untuk disiasat mengikut Seksyen 13A Akta Penyalahgunaan Dadah 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:33 PM