Oleh Shakilawati Abd Rahman


Bukan di luar kebiasaan menghasilkan akaun laman sosial untuk anak kecil kerana ia jadi trend masa kini. Namun disebabkan mereka selebriti terkenal, Scha Alyahya dan Awal Ashaari dikecam teruk pe-ngikut yang kurang senang de-ngan kewujudan Instagram dan ­Facebook puteri pasangan terkenal ini, Lara Alana.

Paling panas, komen berbisa @igrakyatmalaysia. Bahasa digunakan kasar, malah pasangan itu dikritik sengaja mencari pub­lisiti dengan cuba mengeksploitasi Lara.

Sebagai ibu, Scha terguris dengan kata-kata itu, apatah lagi niatnya dan Awal untuk berkongsi perkembangan terkini dengan peminat disalah erti segelintir pihak.

"Macam mana boleh timbul saya dan Awal cuba cari publisiti serta mengeksploitasi Lara, sedangkan pengikut kami lebih ramai?

"Untuk pengetahuan semua, Instagram dan Facebook Lara adalah jurnal untuk kami berkongsi perkembangan anak kami dengan peminat.

"Ramai juga selebriti buka akaun laman sosial untuk anak mereka, bahkan yang bukan artis lebih ramai berbuat sedemikian.

"Bagi saya, apa yang kami buat tidak salah selagi gambar yang dikongsi benda elok dan bagus. Jadi kenapa pula ia perlu dipertikai dan jadi isu?" katanya.

Scha menyifatkan tindakan individu yang gemar menghentam dan memberi komen negatif menggunakan bahasa kasar sebagai keterlaluan, apatah lagi Lara turut diheret sama, sedangkan anak mereka tidak bersalah.

"Saya sedih apabila Lara sering 'diusik'. Saya tak sangka ada segelintir manusia yang dengki dan tidak boleh tengok orang lain bahagia.

"Meskipun kecewa dengan apa yang berlaku, saya ambil pendekatan bertenang. Saya selalu ingatkan diri, jangan ambil pusing dengan apa orang cakap dan ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan.

"Yang suka mengutuk, biarlah mereka dengan dunia mereka. Yang penting, saya dan Awal gembira dengan kurniaan Allah terhadap kami.

"Benda sebegini tak perlu dilayan. Lagipun, ramai sayang Lara dan selalu mendoakan kami. Apabila difikirkan semula, ramai juga gembira dan terhibur dengan kewujudan Instagram serta Facebook Lara," kata Scha yang kini mempunyai sejuta pengikut Instagram.

Selain sibuk dengan Muzik Muzik Separuh Akhir, Scha terikat dengan penggambaran drama Fullhouse untuk Astro Ceria. Meskipun babak membabitkan dirinya tidak banyak, Scha mengakui sedikit kekok kerana sudah lama berehat.

"Ia permulaan baik selepas sekian lama berehat. Pada mulanya ada rasa kekok, tapi seronok juga sebab saya banyak berlakon dengan kanak-kanak. Gelagat mereka sepanjang penggambaran ini buat saya terhibur.

"Habis kerja, saya akan bergegas pulang. Sampai di rumah, saya bukan lagi pelakon, sebaliknya ibu Lara. Saya akan me­nyusukan dia dan jalankan tanggungjawab sepertimana ibu lain.

"Sebelum keluar kerja, saya akan habiskan sebanyak mungkin masa dengan Lara. Itupun rindu, rasa nak habiskan kerja cepat supaya dapat berjumpa Lara.

"Saya dan Awal akan bergilir-gilir menjaga Lara. Kalau saya bekerja, Awal akan jaga dan kalau dia bekerja, saya pula jaga. Itulah rutin kami," katanya yang turut sibuk dengan penjenamaan semula Shapoholic.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:00 AM