DR Christopher memberi penerangan mengenai kanser testikel.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Kanser buah zakar atau juga dikenali sebagai kanser testikel, adalah penyakit jarang berlaku dan bukan berada dalam kedudukan kanser paling kerap menyerang lelaki, malah hanya merangkumi sebahagian kecil lelaki di negara ini.

Bagaimanapun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejak beberapa dekad lalu, kanser testikel semakin meningkat dan berlaku dalam kalangan lelaki muda iaitu di peringkat produktif dalam lingkungan usia 15 hingga 40 tahun.

Sejak 1960-an, kanser berkenaan meningkat sekali ganda terutama dalam kalangan masyarakat Barat, iaitu sekitar tujuh kes bagi setiap 100,000 lelaki.

Di negara ini, statistik kali terakhir mengenai kanser testikel adalah pada 2007 dikeluarkan oleh Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, menunjukkan bilangan pesakit kanser testikel di negara ini adalah sekitar 0.9 peratus.

Pakar Perunding Urologi Hospital Beacon, Dr Christopher Ho berkata, biarpun ia hanya berlaku pada sebilangan kecil, melalui perbincangannya bersama pakar urologi lain, mereka mendapati bilangan pesakit kanser ini di Malaysia semakin meningkat.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan bilangan pesakit kanser itu di negara ini sudah mencecah lebih satu peratus dan penting bagi semua lelaki untuk menyedari mengenai ancaman kepada kesihatan mereka.

“Punca kanser testikel belum dapat dipastikan dengan jelas, namun ada beberapa faktor penyumbang iaitu merokok, sejarah keluarga yang pernah menghidap kanser sama ataupun kelainan pada bahagian buah zakar ketika bayi dilahirkan.

“Sebelum lahir, buah zakar duduk di bahagian abdomen, namun apabila sudah cukup bulan dan sebaik dilahirkan, ia akan turun dan masuk ke dalam kantung atau juga dikenali sebagai skrotum.

“Ia adalah proses semula jadi namun ada bayi yang dilahirkan, buah zakarnya masih berada dalam abdomen sedangkan suhu tubuh yang tinggi tidak sesuai untuk buah zakar dan ia boleh merosakkan sel testikel seterusnya mengubah ia menjadi sel kanser,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun menurut Dr Christopher, kadangkala ia mengambil masa mungkin kira-kira setahun untuk buah zakar bayi masuk ke dalam kantungnya dan ia memerlukan suhu di luar badan yang tidak terlalu panas.

Bagaimanapun, jika buah zakar masih tidak turun ke skrotum dalam tempoh itu, ada kemungkinan ia akan kekal di abdomen dan ini akan merosakkannya, seterusnya menjejaskan sistem reproduktif, penghasilan hormon testosteron dan mendedahkan pesakit kepada kanser.

Sekiranya itu berlaku, perkembangan lelaki akan terjejas kerana hormon testosteron berperanan memberi sifat kelelakian termasuk suara, pembentukan otot, keinginan seksual dan sistem pembiakan, malah testikel penting bagi penghasilan sperma.

“Jika hormon testosteron tidak dapat dihasilkan, bukan saja sifat kelelakian tidak dapat dibentuk, malahan lelaki tadi akan mempunyai sifat kewanitaan lebih tinggi kerana memiliki lebih banyak kandungan hormon estrogen.

“Bayi yang lahir sebegitu biasanya disebabkan oleh masalah genetik dan perlu mendapatkan rawatan doktor sekiranya buah zakar masih berada dalam bahagian abdomen,” katanya.

Lakukan pemeriksaan sendiri

Menurutnya, kanser testikel terbahagi kepada tiga peringkat iaitu hanya di bahagian buah zakar dan belum merebak, merebak ke kelenjar limfa dan peringkat terakhir merebak hingga ke otak.

Bagaimanapun, kata Dr Christopher, peluang pulih sepenuhnya daripada kanser testikel adalah tinggi berbanding kanser jenis lain iaitu antara 70 peratus hingga 100 peratus, biarpun kanser itu sudah merebak sehingga ke peringkat tiga.

Apa yang penting katanya, lelaki perlu meluangkan sedikit masa setiap bulan terutama ketika mandi untuk melakukan pemeriksaan sendiri untuk mengenal pasti sebarang kelainan yang timbul pada bahagian buah zakar mereka.

“Semua testikel berbeza antara lelaki, malah testikel di sebelah kiri juga boleh berbeza dari sebelah kanan dari segi saiznya. Mereka perlu mengenal pasti kelainan pada testikel sendiri berbanding sebelumnya sama ada terdapat ketulan atau saiz semakin besar.

“Ini kerana pada peringkat awal, kanser ini tidak menyebabkan sebarang rasa sakit dan selalunya bila sudah timbul rasa sakit, ia sudah merebak ke peringkat ketiga.

“Jika dapat dikesan awal, ia boleh dirawat dengan lebih mudah kerana pada peringkat pertama hanya membabitkan buah zakar dan pembedahan untuk membuangnya mengambil masa 30 minit dan pesakit tidak memerlukan kemoterapi,” katanya.

Testikel yang dikeluarkan kemudian akan dihantar ke makmal untuk menjalani ujian sama ada ia sudah merebak ataupun tidak.

Malah, peluang pulih adalah hampir 100 peratus dan pesakit boleh pulang awal ke rumah.

Bagaimanapun, mereka masih perlu menjalani rawatan susulan seperti ujian darah, sinar-X dan imbasan CT serta dipantau selama lima tahun bagi memastikan mereka bebas kanser sepenuhnya.

Bagi kanser testikel yang sudah merebak pula, sekiranya ia merebak ke paru-paru, pesakit akan mengalami batuk berdarah, jika ke hati pula mereka akan mengalami demam kuning dan hati tidak berfungsi.

Begitu juga, jika kanser sudah merebak ke tulang, pesakit akan mengalami rasa sakit pada bahagian tulang mereka.

“Bagi kanser tahap dua dan tiga, peluang untuk pulih juga masih tinggi iaitu sekitar 70 peratus berbanding kanser lain dan sekiranya rawatan segera dilakukan termasuk menjalani kemoterapi dan radioterapi, mereka boleh dirawat dengan berjaya.

“Apa yang penting, lelaki jangan ego atau malu. Selalunya apabila membabitkan bahagian kemaluan, lelaki lebih ego dan sukar menerima hakikat kerana buah zakar adalah bahagian tubuh yang memberikan mereka sifat kelelakian.

“Selain itu, usia pesakit yang biasanya masih sangat muda dan berada di puncak kehidupan, menyebabkan mereka terlalu sibuk dan mengetepikan sebarang kemungkinan kanser kerana mereka tidak mahu menerima hakikat itu. Lelaki biasanya hanya bertemu doktor selepas kanser berada di tahap ketiga kerana tidak tahan sakit,” katanya.

‘Intai’ orang muda

Dr Christopher berkata, sebarang kelainan pada buah zakar perlu diambil perhatian serius dan segera bertemu doktor bagi menjalani ujian.

Katanya, selalunya kelainan pada buah zakar bukan kanser, namun sekiranya kanser dan berjaya dikesan awal, kos dan masa rawatan dapat dijimatkan, selain boleh dirawat dengan lebih mudah.

“Apa yang pasti namun tidak dapat dihuraikan adalah kanser ini ada kaitan secara langsung dengan ketinggian seseorang lelaki iaitu lebih tinggi lelaki itu, lebih terdedah kepada risiko, selain faktor risiko yang lain.

“Sememangnya tahap kesedaran mengenai kanser ini agak rendah dalam kalangan lelaki negara ini kerana ia jarang berlaku namun jika dilihat dalam dunia perubatan, ia mempunyai peningkatan dan perlu diberi perhatian.

“Biarpun kanser ini lebih banyak berlaku dalam kalangan belia, tetapi ia juga boleh dialami mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak berusia di bawah dua tahun, namun ia adalah kejadian terpencil,” katanya.

Menurutnya, jika salah satu buah zakar dibuang, penghasilan hormon testosteron, fungsi seksual serta penghasilan sperma tidak akan terjejas kerana satu lagi buah zakar masih boleh menjalankan tugasnya dengan baik.

Bagaimanapun, sekiranya kanser berkenaan menjejaskan kedua-dua buah zakar, suplemen hormon testosteron terpaksa diambil sepanjang hayat selain doktor akan menasihatkan sperma diambil dan dibekukan terlebih dulu sebelum menjalani pembedahan.

“Ini bagi memastikan mereka tetap ada peluang memiliki anak kerana selalunya pesakit terdiri dalam kalangan masih muda, ada yang belum berkahwin. Sekiranya mengambil keputusan berkahwin, pesakit masih mampu memiliki anak sendiri,” katanya.

Selain itu, Dr Christopher berkata, dalam usaha meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kanser itu, Hospital Beacon turut menjalankan beberapa inisiatif antaranya menayangkan video mengenai kanser itu di kliniknya, selain dibincangkan dalam pertemuan antara doktor supaya mereka lebih memberi pemerhatian terhadap isu itu ketika merawat pesakit.

Pada masa sama, katanya, Hospital Beacon juga kini dalam perancangan mengadakan kempen kesedaran kanser testikel dalam kalangan orang awam dengan cara mengedarkan risalah, poster serta menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 10:33 AM