EPAL makanan mudah dimakan dan berkhasiat.
EPAL makanan mudah dimakan dan berkhasiat.
SENAMAN rancak ditunjukkan.
SENAMAN rancak ditunjukkan.
ANTARA aktiviti menghiburkan pengunjung.
ANTARA aktiviti menghiburkan pengunjung.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Buah-buahan menjadi elemen penting dalam pemakanan seimbang yang kaya serat dan vitamin serta dapat membantu menjaga kesihatan usus dengan lebih baik.

Pengambilannya satu jam sebelum atau selepas makan dapat memastikan kesihatan berada pada tahap optimum. Selain kaya serat, buah juga sarat dengan mineral yang penting bagi memastikan setiap sel dalam tubuh dilindungi daripada kerosakan akibat radikal bebas seterusnya meningkatkan sistem pertahanan badan.

Menyedari hakikat itu, jurulatih terkenal Brazil untuk Kelab Bola Sepak Erica Peres (EPS) Erika Peres turut berkongsi pengetahuan mengenai kebaikan buah sebagai sumber makanan semula jadi yang menyihatkan tubuh.

Pemilik Erika Peres Soccer Sdn Bhd itu berkata, sebagai ibu kepada dua anak kecil, dia amat memahami kepentingan buah dalam penjagaan kesihatan apatah lagi ia mudah dibawa dan dimakan di mana saja.

Katanya yang sudah melatih ribuan kanak-kanak bermula usia dua tahun dalam sukan bola sepak, pengambilan buah seperti epal amat mudah diamalkan serta mengenyangkan.

“Saya memiliki dua anak berusia sembilan bulan dan enam tahun. Bagi saya pemberian buah kepada kanak-kanak bukan saja mudah, tetapi ia membekalkan mereka zat mineral yang cukup dalam bentuk semula jadi.

“Epal adalah pilihan buah yang terbaik kerana ia mudah dibawa dan dimakan tanpa perlu dipotong terlebih dulu. Ia boleh dijadikan snek sihat, tidak berlemak, tiada kolesterol dan penuh dengan kebaikan serat serta potasium.

“Buah epal sesuai untuk semua golongan dan bagi yang masih kecil, ia boleh dilecekkan,” katanya.

Pada masa sama, Erika berkata, dalam mendidik dan memupuk kesedaran menjaga kesihatan dari awal, kanak-kanak perlu didedahkan dengan pemakanan sihat dan juga aktiviti riadah.

Dia berpendapat, senaman adalah perkara semula jadi kepada kanak-kanak kerana mereka sememangnya gemar berlari, melompat dan mudah diajar apabila membabitkan aktiviti yang memerlukan pergerakan fizikal.

“Pendidikan fizikal penting kerana ia secara tidak langsung memupuk dari awal gaya hidup sihat. Jika dilihat di sekeliling kita, gaya hidup tidak sihat sememangnya bermula dari usia awal

melalui cara hidup diamalkan keluarga apabila anak-anak diberi makan makanan berlemak dan hanya bermain permainan video.

“Masalah di Malaysia pula adalah makanan tempatan yang banyak mengandungi kolesterol dan cara ia dimasak selalunya bergoreng dan penuh kalori,” katanya.

Bersama ubah budaya makan

Erika berkata, jika budaya makan yang biasa diubah misalnya menukar nasi lemak kepada buah atau sandwic menyihatkan, pasti jumlah kalori diambil dalam sehari akan menurun mendadak dan menjadikan kanak-kanak mempunyai lebih banyak tenaga.

Walaupun kecenderungan selera itu sukar untuk diubah tetapi daripada pemerhatiannya, rakyat negara ini sudah mula menunjukkan perkembangan positif yang perlu diteruskan dan dipuji. Semakin ramai ibu bapa masa kini yang mempunyai kesedaran mengenai gaya hidup sihat berbanding sebelumnya, seterusnya menggalakkan anak mereka mengamalkan cara pemakanan lebih menyihatkan.

“Apa salahnya jika kita menukar gaya pengambilan snek atau pencuci mulut iaitu tukar coklat kepada epal atau pisang, pasti tubuh akan berterima kasih kepada perubahan ini kerana ia dapat membantu menjadikan kita lebih sihat.

“Selain itu, jika anak teringin minum jus buah, lebih baik sekiranya kita kisar sendiri buah dan jangan campurkan gula supaya anak mendapat jus yang lazat dan penuh zat kebaikan kepada tubuh.

“Ini kerana biarpun sudah ada jus buah yang dijual di pasar raya, kandungan gulanya terlalu tinggi dan boleh memudaratkan kesihatan dalam jangka panjang,” katanya.

Erika mewarisi bakat bola sepak daripada ayahnya, Waldir Peres, anggota Kelab Bola Sepak Sao Paulo yang berprestij dan pernah mewakili Brazil dalam tiga Pertandingan Piala Dunia.

Katanya, epal juga boleh digunakan sebagai snek menyihatkan antara masa makan untuk mengurangkan kelaparan dengan jumlah kalori yang rendah.

Justeru, epal boleh dianggap makanan yang baik sebagai sebahagian daripada diet sihat untuk menggalakkan penurunan berat badan dan membolehkan tubuh kekal cergas. Ia boleh dijadikan antara menu harian keluarga terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak gemuk atau obes dalam membantu mereka mendapat berat badan ideal.

“Makan epal juga adalah sebahagian kaedah senaman. Makan epal sebelum anda bersenam boleh meningkatkan ketahanan senaman anda,” katanya pada kempen komuniti gaya hidup sihat anjuran Washington Apple Commission (WAC) baru-baru ini.

Pada pelancaran kempen itu, pelbagai aktiviti bercorak pendidikan untuk menunjukkan bagaimana epal dengan kombinasi regim kecergasan mampu merangsang kesihatan dan kecergasan.

Jurulatih FitnessFirst turut memberikan persembahan bertenaga selain maklumat berkaitan epal dikongsi dengan orang ramai yang menghadiri kempen berkenaan.

Antara epal yang diperkenalkan pada acara itu adalah dari jenis Red Delicious, Golden Delicious, Gala, Fuji, Granny Smith, Honeycrisp, Crisp Pink, Braeburn, dan Jonagold yang mempunyai rasa manis tersendiri.

Ia juga berbeza dari segi warna dan tekstur selain mempunyai kegunaan khusus misalnya untuk penghasilan jus, salad, pai, sos, pencuci mulut atau sekadar menikmatinya sebagai snek sihat.

Kebanyakan epal berasal dari Washington yang menjadi antara pengeluar terbesar epal kerana memiliki iklim bersesuaian dan pengairan baik.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Total Market Solutions, Eddie Saw berkata, epal Washington diperakui di peringkat antarabangsa kerana kualiti, kerangupan dan rasanya.

Katanya, ia ditanam di beberapa bahagian di Washington yang dikurniakan iklim bersesuaian, tanah kaya unsur gunung berapi dan sistem pengairan yang baik.

“Industri epal Washington menggunakan piawaian gred epal paling ketat dan mereka mengeksport kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan pengeluaran kepada lebih 60 negara seluruh dunia.

Epal bantu rawat kerosakan pada sel tubuh?

Epal bukan sekadar lazat dan mampu memuaskan selera mereka yang suka makanan manis, ia juga mengenyangkan dan kaya nutrisi.

Selain kaya dengan antioksidan, epal juga mempunyai kemampuan melawan penyakit, malah ia dipercayai dapat membantu merawat sebarang kerosakan terdapat pada sel tubuh.

Ia kaya dengan serat dikenali sebagai pektin yang memberi kebaikan kepada sistem penghadaman, menyingkirkan toksin, seterusnya meningkatkan tenaga dan kesihatan keseluruhan. Antara manfaat lain ialah:

1. Gigi lebih kuat dan putih

Epal mampu menggantikan berus gigi kerana menggigit dan mengunyahnya menggalakkan pengeluaran air liur sekali gus mengelak masalah gigi reput dan mengurangkan bakteria dalam mulut.

2. Melindungi daripada Alzheimer’s

Satu kajian terbaru mendapati tikus yang diberi minum jus epal dapat mengelak masalah Alzheimer’s dan melawan kesan penuaan pada otak mereka. Ia juga meningkatkan aktiviti otak dan membuatkannya lebih cerdas.

3. Mengelak Parkinson’s

Kajian juga mendapati mereka yang makan lebih banyak buah dan makanan tinggi serat mampu mengelak daripada Parkinson’s kerana penyakit itu berlaku apabila sel saraf yang menghasilkan dopamin terjejas sedangkan epal mampu menjaga kesihatan otak.

4. Melindungi daripada kanser

Epal kaya dengan bahan flavonoid yang mengurangkan aktiviti pertumbuhan kanser. Bahan seperti triterpenoid dalam kulit epal juga mempunyai sifat anti kanser.

5. Mengurangkan risiko diabetes

Pengambilan epal sekurang-kurangnya sebiji sehari mampu mengimbangkan kadar gula dalam darah kerana ia kaya serat.

6. Menurunkan kolesterol

Epal mempunyai serat larut yang mampu ‘menarik’ dan membuang kolesterol daripada tubuh, seterusnya menjadikan paras kolesterol menurun.

7. Jantung lebih sihat

Pengambilan serat tinggi menurunkan kolesterol, seterusnya menjadikan jantung lebih sihat dan mengurangkan risiko pengumpulan plak pada salur arteri.

8. Mengelak pembentukan batu karang

Kandungan kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan pembentukan batu karang.

9. Mengelak sembelit

Pengambilan serat tinggi melancarkan sistem penghadaman dan menjadikan proses pembuangan najis mudah, seterusnya memelihara kesihatan diri.

10. Menyingkirkan toksin dalam hati

Pengambilan pelbagai jenis makanan boleh menjejaskan fungsi hati yang berperanan menyingkirkan toksin. Pengambilan epal membantu kerana ia bukan saja cara yang mudah tetapi selamat untuk menyingkirkan toksin dari badan secara efektif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 10:39 AM
Digital NSTP Subscribe