Abdul Azeez (kanan) dan Mohd Hafiz. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Peniaga, Mohd Hafiz Adzudin, 30, yang kehilangan enam ahli keluarga dalam kemalangan ngeri di Gua Musang, Sabtu lalu akan dibantu untuk ke Makkah bagi menunaikan haji.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, peluang itu ditawar kepada Mohd Hafiz bagi membantunya memulihkan semangat dan capai ketenangan selepas kehilangan orang tersayang.

"Tawaran sama diberi kepada bapanya Adzudin Sulaiman, 59, yang sudah lama simpan hasrat ke Tanah Suci, selain ibu bapa mentua Mohd Hafiz.

"Tabung Haji juga akan usahakan untuk laksana badal haji buat enam mangsa terkorban.

"Ini adalah tanggungjawab kita untuk membantu masyarakat Islam yang menghadapi tekanan akibat bencana untuk pulih," katanya ditemui di rumah Mohd Hafiz di Kampung Panggung Lalat, di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Azeez mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Mohd Hafiz.

Turut menerima sumbangan sama adalah keluarga Allahyarham isteri Mohd Hafiz, Noor Azila Yasin, 28.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi, Sabtu lalu, enam ahli keluarga Mohd Hafiz termasuk ibu, isteri dan anak tunggalnya maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan lori dan treler.

Kejadian berlaku di Kilometer 25 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Bukit Sejuk, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 3:18 PM