Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta. FOTO ihsan bomba
Oleh Khalid Latip

Bintangor: Tiga lelaki dan seorang wanita maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan lori dalam kejadian di Jalan Bintangor-Sarikei, berhampiran simpang Sing Ba, kira-kira 10 kilometer dari Pekan Bintangor, petang tadi.

Dalam kejadian 6 petang itu, keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian, manakala seorang kanak-kanak cedera.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Wong Ching Chiang, 22, yang memandu kereta dan penumpang kereta, Wong Ching Soon, Henry Ling Jun Hong, masing-masing 15 tahun dan Su Kee Chuo, 65.

Kanak-kanak yang cedera pula, Kerry Ling Chen Yu berusia 11 tahun.

Mayat dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat dan kanak-kanak yang cedera dibawa ke hospital sama untuk dirawat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota Bomba tiba di lokasi kejadian pada 6.11 petang dan mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kereta.

"Bagaimanapun identiti, umur mangsa dan punca kemalangan belum dipastikan," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Mohd Hafifi Salim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Bagaimanapun, katanya maklumat lengkap berkaitan kejadian itu masih belum diperoleh termasuk identiti semua mangsa.

"Pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan dan merakam keterangan pemandu lori terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 10:37 PM