ZURIATI memerhatikan pekerja memproses pengeluaran popia simpul.
SEBAHAGIAN sijil dan anugerah yang diterimanya.
ZURIATI bersama sebahagian produk serunding keluaran syarikatnya.
Oleh Mohd Amin Jalil


Bermula dengan menjual secara kecil-kecilan terutama pada musim perayaan di kampungnya, kini Zuriati Sulaiman, 48, menjadi pengeluar dan pembekal utama produk serunding daging, ayam, ikan bilis dan popia simpul di Negeri Sembilan.

Selepas menjangkau 10 tahun menjalankan perniagaan dengan bantuan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS), Jabatan Veteriner Negeri Sembilan (JVNS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Insitut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), dia kini boleh menarik nafas lega apabila produk yang dikeluarkan menerusi syarikat Awie Enterprise (Awie) mendapat sambutan menggalakkan.

Malah, dia tidak ‘menang tangan’ kerana permintaan terhadap produk yang resipinya diwarisi sejak turun-temurun keluarganya makin meningkat bukan saja daripada kalangan pelanggan tetap, tetapi juga pasaran baru.

Dengan menggunakan slogan ‘Serunding Nogori’ produk keluaran Awie yang kini mendapat pengiktirafan 1Malaysia Best, turut dipasarkan di beberapa negeri seperti di Melaka dan Selangor.

Zuriati bagaimanapun mengakui, dia tidak boleh terburu-buru mengejar permintaan kerana perlu memastikan produk dikeluarkannya kekal berkualiti terutama dari segi cita rasa dan keenakannya.

“Dalam sehari, saya hanya mampu mengeluarkan 30 kilogram serunding dan popia simpul dan tidak boleh mengeluarkan terlalu banyak kerana hanya ada satu mesin memproses atau memasak selain memerlukan sekurang-kurangnya enam jam untuk memasak serunding.

“Saya juga perlu pastikan kualiti bahan dan ramuan yang dimasak kekal standard bagi memastikan ketahanan selain rasa serta keenakannya tidak terjejas.

“Kawalan dari segi pengeluaran perlu untuk memastikan produk ini kekal bertahan dan tidak menimbul masalah kepada pelanggan,” katanya di Pusat Operasi Awie di Pusat Pertanian Ampang Tinggi, Tanjong Ipoh, Kuala Pilah.

Zuriati berkata, ketika peringkat permulaan perniagaannya pada 2005, dia hanya mengeluarkan serunding ikan bilis, tetapi selepas tiga tahun, mengeluarkan pula serunding daging dan ayam serta popia simpul.

Menurut wanita dari Kuala Pilah itu, ketika ini syarikatnya mengeluarkan 350 kilogram serunding dengan nilai jualan RM18,000 hingga RM20,000 sebulan.

Sambil dibantu empat pekerja, dia bagaimanapun berkata, kuantiti jualan meningkat setiap kali musim perayaan.

Katanya, selain memasarkannya menerusi pelantikan lebih 10 ejen pemasaran dan peniaga kecil, produknya juga ditempatkan di beberapa premis perniagaan di sekitar Seremban dan Senawang.

“Saya turut menyertai beberapa ekspo dan karnival keusahawanan di seluruh negara termasuk menyertai Pameran Antarabangsa Pertanian, Horikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) serta sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNNS).

“Malah, popia simpul pernah menerima anugerah produk komersial terbaik pada MAHA 2008 manakala serunding ikan bilis dan daging menerima anugerah sama pada HPPNNS 2009 dan 2012,” katanya yang mengeluarkan modal asas RM20,000.

Zuriati berkata, produknya yang mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan selain sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan turut menerima tempahan bagi majlis rasmi kerajaan untuk tujuan cenderahati selain majlis keramaian seperti bertunang dan perkahwinan.

“Beberapa agensi kerajaan banyak membantu saya bukan saja dari segi khidmat nasihat, kepakaran dengan menyediakan kursus, tetapi juga bantuan peralatan termasuk mesin memproses serunding,” katanya.

Beliau akui sudah berhadapan pelbagai rintangan termasuk mengalami kerugian sehingga mencecah RM60,000 kerana tindakan ejen pemasaran yang tidak membayar harga produk.

Ibu kepada anak tunggal berusia 24 tahun itu berkata, semuanya itu dihadapi dengan tabah dan dijadikan sebagai asam garam dalam perniagaan.

“Saya akui untuk menjadi usahawan berjaya bukan mudah, tapi peluang itu tetap ada bagi setiap individu jika terus berusaha gigih, berani menyahut cabaran dan sedia berdepan segala kemungkinan selain tidak mudah putus asa,” katanya.

Zuriati berkata, pihaknya sedang dalam proses mengeluarkan satu produk baru iaitu rendang Minang sejuk beku yang sinonim dengan makanan Negeri Sembilan mengandungi pelbagai rempah-ratus dan mungkin dapat dipasarkan menjelang pertengahan tahun ini.

Dia berharap suatu hari nanti, produk keluarannya menembusi pasaran luar negara seperti Singapura.

“Saya berharap dapat membesarkan lagi perniagaan ini dan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya yang berhasrat melantik lebih ramai ejen pemasaran di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 10:39 AM