CERT yakin beri cabaran sengit.

 Jasin: Pasukan Chiru Endurance Racing Team (CERT) dari Thailand bakal meneruskan misi merampas takhta teratas kategori XC Race Terbuka Wanita pada sirkit keempat Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan pada 29 November ini.

Pasukan itu masih mengekalkan pelumba wanita keirin Thailand Supuksorn Nuntana bagi memburu kejuaraan seperti dilakukan pada sirkit ketiga di Nibong Tebal, Pulau Pinang bulan lalu.

Pengurus CERT Nor Azman Razali berkata, Supuksorn adalah peserta tunggal wanita bersaing dalam kategori itu adalah harapan pasukan kerana mempunyai rekod cemerlang sepanjang menyertai pelbagai kejohanan termasuk di peringkat antarabangsa.

Katanya, menerusi penyertaan pada UCI MTB Marathon Series Langkawi 2014 bulan lalu, Supuksorn mendapat tempat kedua dalam saingan itu.

“Kami yakin di Asahan nanti, Supuksorn mampu berkayuh lebih baik dengan mengekalkan ranking pertama siri kejohanan MTB ini.

“Walaupun perlumbaan MTB bukanlah acara utama, dia boleh bersaing hebat dalam kejohanan disertainya,” katanya.

Nor Azman berkata, mereka hanya menghantar tiga pelumba saja termasuk dua pelumba veteran Jirawat Chulak dan Praset Chitmart yang masing-masing akan bersaing dalam kategori XC Race Master.

Katanya, Praset yang juga bekas pelumba kebangsaan Thailand adalah harapan pasukan.

“Praset banyak merangkul kejayaan dalam kategori veteran dan kita terus menaruh harapan untuk meneruskan usaha mengharumkan nama pasukan,” katanya.

Beliau berkata, bagi sirkit di Melaka ini, mereka tidak dapat menghantar ramai pelumba berikutan ada pertembungan dengan kejohanan lain di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:02 AM