MOHAMED Apandi pada sidang media di Jabatan Peguam Negara. FOTO Bernama
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendapati tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan ketiga-tiga kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Mohamed Apandi berkata, beliau berpuas hati dengan keseluruhan fakta dan keterangan yang diberikan oleh agensi berkenaan.

"Tengah hari ini kertas-kertas siasatan yang berkaitan akan dikembalikan kepada SPRM dengan arahan supaya ketiga-ketiga kertas siasatan itu ditutup," katanya.

Katanya, kertas siasatan berkenaan masing-masing satu kertas berkaitan dana RM2.6 bilion dan dua kertas berkaitan kes SRC International.

Jabatan Peguam Negara turut mengesahkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri berjumlah RM2.08 bilion di antara 22 Mac dan 10 April 2013 adalah sumbangan peribadi keluarga diraja Arab Saudi dan diberi tanpa apa-apa balasan.

Mohamed Apandi berkata, siasatan juga tidak menunjukkan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan berkaitan kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, pada Ogos 2013, sejumlah AS$620 juta (RM2.03) bilion sudah dipulangkan semula oleh Perdana Menteri kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

"Berdasarkan keterangan saksi dan dokumen dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 11:50 AM