AFIQ (kanan) mempamerkan pingat emas dimenanginya, semalam.
AFIQ (kanan) mempamerkan pingat emas dimenanginya, semalam.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Skuad trek negara memulakan hari pertama Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Jepun semalam dengan meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Pelumba para-cycling negara tampil cemerlang apabila meraih emas menerusi Muhammad Afiq Afify yang dibantu Mohammad Hafiz Sufian dalam acara tandem sprint menewaskan lawan dari Jepun.

Manakala Muhammad Amin Najmi Ramzi dibantu Muhammad Khairul Adha Rasol meraih gangsa.

Perak disumbangkan Jupha Somnet yang hanya ketinggalan satu mata kepada pemenang pingat emas dari Taiwan Timg Ying Huang yang mengumpul 42 mata.

“Memang saya meletakkan sasaran untuk meraih pingat hari ini (semalam). Saingan memang sengit, pelumba tempat ketiga (Minami Uwano dari Jepun) hanya ketinggalan satu mata.

“Ini satu motivasi kerana tahun lalu saya tidak menyumbang sebarang pingat untuk negara di ACC. Ia juga tonik terbaik untuk saya menghadapi acara omnium pada Jumaat nanti,” kata Jupha.

Acara perlumbaan mata sejauh 25 kilometer di Velodrom Izu dilihat adalah “pemanas badan” sebelum Jupha turun memburu mata kelayakan ke Olimpik Rio dalam acara omnium.

Sementara itu trio pecut lelaki elit negara yang mempertaruhkan Muhd Fadil Mohd Zonis, Mohd Shariz Afendi Mohd Shahrin dan Muhammad Khairil Nizal Rasol terlepas merebut sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Mereka melakar masa 46.030 saat untuk muncul pasukan kelima terpantas namun menjanjikan masa depan yang cerah untuk negara.

Trio itu membaiki catatan masa 46.090s semasa beraksi di Kejohanan Remaja Dunia dengan rekod kebangsaan adalah 44.725s.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 10:11 AM