PENOLONG Pengarah Unit anti Pencatutan Bahagian Penguatkuasa Putrajaya, Nor Wahida Muhammad, 34, menunjukkan 13 jenis barangan harga terkawal. FOTO Surianie Mohd Hanif
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum bagi 13 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena perayaan Tahun Baru Cina pada 8 dan 9 Februari ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, skim kawalan harga itu berbeza mengikut 149 daerah seluruh negara dandikuatkuasakan selama 12 hari bermula 3 hingga 14 Februari di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Antara barangan dikawal adalah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersih berserta kaki, kepala, hati) dan ayam super (disembelih dan dibersih tanpa kaki, kepala, hati).

"Sebagai contoh, harga runcit ayam hidup di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor RM5.80 setiap kilogram (kg) manakala ayam standard, RM7.30 setiap kg.

"Selain itu, harga telur ayam gred A,B,C, kobis bulat import, bawang putih (China) ikan bawal putih, babi hidup (kawalan di peringkat ladang) serta daging babi (perut, daging dan lemak) juga termasuk dalam skim kawalan harga ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Hamzah lagi, 2,000 anggota penguatkuasa ditugaskan sepanjang tempoh skim kawalan harga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 5:12 PM