AZIZULHASNI (kanan) sekadar meraih pingat gangsa.
AZIZULHASNI (kanan) sekadar meraih pingat gangsa.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pelumba trek Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal menghadiahkan pingat emas untuk negara walaupun kedua-duanya melangkah ke pentas final acara keirin Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Jepun, semalam.

Azizul gagal mempertahankan emas dimenanginya pada ACC 2015 Thailand apabila meraih gangsa manakala Shah Firdaus menamatkan perlumbaan di Velodrom Izu di tempat keempat.

Perlumbaan itu dimenangi pelumba Im Chaebin dari Korea manakala Xu Chao dari China, perak.

“Sejak awal perlumbaan kami tidak dapat mara ke depan dengan pelumba Korea itu sudah menutup ruang terlebih dulu. Berbaki satu pusingan saya cuba untuk memecut namun sudah lambat.

“Namun saya bersyukur dengan keputusan hari ini (semalam) selain bangga dengan Shah yang berada di belakang. Kami merancang untuk melakar kemenangan 1-2 namun tiada nasib,” kata Azizulhasni.

Bagaimanapun situasi itu dilihat tidak membimbangkan kerana The Rocketpocket Man sebenarnya memberikan tumpuan kepada acara pecut di ACC kali ini demi memastikan tiket ke Olimpik Rio.

Namun Malaysia tetap berbangga apabila pelumba para-cycling negara meneruskan kecemerlangan meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa.

Emas hadir menerusi gandingan Muhammad Afiq Afify Rizan dan Mohammad Hafiz Sufian dalam acara satu kilometer ujian masa.

Lebih membanggakan mereka turut melakar rekod baru kebangsaan dengan catatan 1 minit 05:440 saat, memecahkan rekod lama yang dicatat pada 2010.

“Memang gembira dengan pencapaian setakat ini terutamanya bergandingan dengan pelumba baru di pentas tinggi seperti ini,” kata Hafiz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 10:05 AM