WILLIAM (dua dari kanan) dilantik sebagai pengurus pasukan Kejohanan Badminton Asia Berpasukan di Hyderabad.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Datuk William Toh sebagai pengurus pasukan ke Kejohanan Badminton Asia Berpasukan (kelayakan Piala Thomas & Uber 2016) di Hyderabad, India bulan depan.

Menurut Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid, pelantikan William dipersetujui berdasarkan pengalaman dimiliki untuk mengemudi pasukan yang rata-rata dibarisi pemain muda.

“William ialah Ahli Majlis BAM dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pemasaran serta pembangunan sumber manusia. Kemahiran dan kepakarannya mempunyai kelebihan untuk membimbing pemain muda terutama dalam skuad kelayakan Piala Thomas,” katanya dalam sidang media semalam.

Jelasnya, pengalaman dimiliki William dapat membantu pemain muda untuk beraksi dengan cemerlang di pusingan kelayakan Piala Thomas bulan depan.

“Berdasarkan penerangan diberikan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen dan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, kita mampu untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas di Kunshan, China.

“Pemain yang dibariskan ini diharap mampu untuk beraksi sebaik mungkin seterusnya membawa Malaysia ke pusingan akhir Piala Thomas. Dalam masa yang sama kita sudah mula untuk membiasakan diri untuk tidak terlampau mengharapkan Datuk Lee Chong Wei,” katanya.

Al Amin mengakui pemain muda yang dibariskan ini sudah memberi maklum balas mereka tidak sabar untuk beraksi dan mengharumkan nama negara.

“Ini juga permulaan buat mereka. Ia menjadi pendedahan awal untuk memberikan keyakinan kepada mereka dalam membawa Malaysia ke pusingan akhir Piala Thomas,” katanya.

Sementara itu, William berkata, beliau yakin dengan kemampuan pasukan kelayakan Piala Thomas dan akan bekerjasama dengan Frost ketika di Hyderabad nanti.

“Kami akan cuba sebaik mungkin, dengan harapan pemain menunjukkan potensi sebenar, menikmati perlawanan sebaiknya dan keputusan yang baik akan dicapai selepas itu. Kita mahu semua pihak memberikan sokongan sepenuhnya kepada pasukan muda ini yang akan menjadi tonggak masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai sekali lagi diberi tanggungjawab untuk menjadi pengurus pasukan skuad badminton negara ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Empat tahun lalu di temasya yang sama di London, Chin Chai juga diberi peranan sebagai pengurus pasukan yang menyaksikan ketika itu Chong Wei mengulangi pencapaian Olimpik 2008 (Beijing) apabila meraih perak dalam acara perseorangan lelaki selepas tumpas kepada Lin Dan dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 10:17 AM