KENANGAN di sebuah tempat penginapan.
LAKARAN perjalanan sepanjang pendakian ke ABC.
BEREHAT seketika sebelum memulakaan pendakian.
ASMALINA mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru’ ketika berada di ABC.
SUASANA damai yang mempersona.
PENGALAMAN bermain salji cukup bermakna buat Helmi.
BERGAMBAR kenangan di ABC.
Oleh Suliati Asri dan Zul Ikhwan Muhammad


Fenomena alam yang menakjubkan, aurora boleh membuatkan sesiapa saja yang melihatnya bagaikan terpukau dengan keindahannya.

Tiada ungkapan boleh dikatakan saat menyaksikan fenomena pancaran cahaya warna-warni di angkasa itu yang hanya boleh dilihat di kawasan Artik dan Antartik.

Dek teringin untuk melihat aurora dan teruja melihat gambar yang dimuat naik rakan di laman Facebook, gadis ini segera bersetuju menempah tiket penerbangan untuk pergi bersama.

Usai urusan tempahan tiket, hati yang teruja untuk melihat aurora bertukar menjadi takut apabila mengetahui destinasi sebenar rombongan yang akan disertainya ialah ke Annapurna Base Camp, Nepal, yang turut dikenali sebagai ‘Everest Kecil’ dalam kalangan pendaki tegar.

Namun, keazaman tinggi dan panorama indah tersaji di sepanjang perjalanan mendaki puncak yang juga dikenali sebagai ABC Camp membuatkan Nur Asmalina Aziz, 27, tidak menyesal, sebaliknya meninggalkan 1,001 kenangan terindah tidak akan dilupakan seumur hidupnya.

Kepayahan diharungi ketika meredah salji tebal terbayar sebaik melihat pemandangan mempesonakan itu.

Nur Asmalina yang juga seorang eksekutif akaun bersama lima lagi rakannya Ze Shen Chin, 24, Husaini Omar, 24, Wan Hafizan Wan Hanafi, 26, Hilmi Musa, 27, dan Ariffin Ab Bakar, 30, berjaya menakluki gunung setinggi 4,130 meter dari paras laut itu hujung bulan lalu walaupun tanpa persediaan sewajarnya.

Menurutnya, sebaik mengetahui pengembaraan mereka adalah untuk ke gunung itu, perasaan takut menyelubungi diri.

“Mana tidaknya, saya sudah lama meninggalkan aktiviti mendaki yang sering dilakukan ketika zaman belajar. Apabila memikirkan saya tak tahan dengan cuaca sejuk, perasaan takut mula datang.

“Namun, disebabkan tiket sudah ditempah dan ingin mencabar diri, misi itu tetap diteruskan,” katanya.

Katanya, selepas mendapat nasihat daripada rakan yang pernah ke gunung itu dan membuat sedikit kajian, perasaan teruja pula muncul terutama selepas melihat gambar pemandangan di gunung itu.

Bercerita mengenai sesi latihan sebelum pendakian, kata Asmalina, tiada latihan khusus diikutinya melainkan naik turun tangga bangunan 13 tingkat pejabatnya.

“Seorang rakan beritahu, dalam perjalanan ke ABC ada satu tempat memerlukan pendaki memanjat ribuan anak tangga dan ia sangat memenatkan.

“Jadi, saya menggunakan tangga di pejabat dengan turun naik sebagai latihan selain berjoging setiap hari selama sebulan sebelum berlepas ke Nepal,” katanya.

Asmalina juga membuat persiapan mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal dihadapinya.

Mengenai pengalaman sepanjang perjalanan ke ABC, kata Asmalina, pendakian yang dipanggil ‘kes terjah’ itu membuatkan dia lebih berhati-hati dan bersikap positif.

“Sebelum mendaki saya sudah nekad untuk mengharungi tempat yang mencabar dan alhamdulillah saya dapat melalui walaupun perjalanan sedikit lambat.

“Apabila melalui kawasan yang agak sukar, saya cuba sedaya upaya mengharunginya,” katanya.

Di sepanjang perjalanan, kekurangan oksigen dan sakit badan adalah cabaran yang perlu dihadapi.

Ini berikutan makin tinggi tempat didaki, makin berkurangan oksigen.

“Kekurangan oksigen di tempat tinggi membuatkan saya cepat penat. Kami perlu bijak mengatur pernafasan dan cekal untuk terus melangkah ke destinasi,” katanya.

Mengambil masa selama enam hari, Asmalina bersama lima rakannya perlu bermalam di beberapa tempat penginapan ketika dalam perjalanan ke ABC.

“Masalah utama yang dihadapi pendaki selepas bangun tidur ialah sakit badan. Dengan keadaan itu, kaki terasa sangat berat untuk melangkah menyebabkan semangat sedikit luntur.

“Oleh itu, ketika sampai ke tempat penginapan, kami akan mandi walaupun cuaca sangat sejuk. Ini kerana mandi adalah ubat paling sesuai untuk menghilangkan sakit badan,” katanya.

Di sepanjang pendakian, Asmalina tidak mengeluh kerana sudah bersedia dari segi mental tetapi dengan keadaan letih, ada kalanya dia mulai hilang semangat.

“Walaupun pendakian sangat sukar kerana ais yang tebal, melihat pemandangan yang mempesonakan dan susah nak jumpa, semangat makin berkobar-kobar semula.

“Keletihan yang dirasai terasa berbaloi sebaik menghayati keindahan setiap tempat yang dilalui sehinggalah tidak sedar sudah sampai ke ABC,” katanya.

Sedia tawan puncak Everest jika ada penaja

Meskipun tidak sehebat Datuk N Mohandas dan Datuk M Magendran yang berjaya menawan Gunung Everest, kejayaan enam sahabat, Hilmi Musa, 27, Nur Asmalina Aziz, 27, Ze Shen Chin, 24, Husaini Omar, 24, Wan Hafizan Wan Hanafi, 26, dan Ariffin Ab Bakar, 30, menawan Annapurna Base Camp di Nepal juga boleh dibanggakan.

Ini kerana selain tiada persiapan rapi yang biasanya memakan masa berbulan-bulan, mereka juga mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Sejak awal, misi mereka yang bermula 22 Disember lalu cuma menyasarkan untuk sampai ke Base Camp disebabkan kekurangan sumber kewangan bagi mendapatkan permit, insurans dan perbelanjaan lain untuk mendaki ke puncak Everest.

Begitupun, enam sahabat ini tidak mengalah lalu mengambil inisiatif menjalani latihan mendaki 20 gunung di dalam negara dengan menekankan aspek ketahanan diri, mental, serta kecergasan.

Ekspedisi itu diketuai Hilmi, jurulatih sambilan di Pusat Gimnasium 1Malaysia, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Mersing yang juga jurulatih kecergasan dengan bantuan Husaini selaku jurupandu.

Mereka turut menempuh kesukaran kerana seorang daripada ahli kumpulan itu menghadapi masalah ‘mabuk gunung’ atau Altitude Mountain Sickness (AMS) berikutan terpaksa berhadapan dengan cuaca terlalu sejuk iaitu -20 darjah Celsius.

“Perjalanan kami agak perlahan dan mengambil masa tujuh hari untuk sampai ke Base Camp pada ketinggian 4,580 meter dari paras laut kerana seorang daripada ahli ekspedisi mengalami AMS.

“Mujur jurupandu bijak menangani situasi berkenaan bagi mengelak berlakunya ‘frost bite’,” katanya.

Selain itu, katanya, cabaran utama mereka sepanjang perjalanan ialah terpaksa membawa bebanan beg seberat 15 kilogram seorang termasuk peralatan memasak dan bekalan makanan serta mengambil apa sahaja makanan yang ada kerana perlu menghormati kepercayaan penduduk di sana tidak memakan daging.

“Adakalanya kami turut mendengar ada kes runtuhan salji, tetapi tidak membabitkan laluan pendakian kami. Itulah cabaran dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan menyebabkan kami sangat teruja untuk menjejak kaki ke puncak Everest jika ada pihak sudi menaja,” katanyaHilmi yang tinggal di Taman Sri Mersing, Johor, mula meminati aktiviti itu kerana mewarisi minat ibunya Mariah Saan, 54, yang juga gemar aktiviti itu, malah ibunya pernah dua kali sampai ke puncak Gunung Kinabalu pada usia 40-an.

Katanya, tahun ini mereka merancang menawan puncak Gunung Kilimanjaro di Afrika, namun misi untuk sampai ke puncak Everest tetap menjadi keutamaan jika ada pihak sudi menaja kos permit, insurans serta perbelanjaan ekspedisi yang sangat tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 10:29 AM