BARISAN artis yang tercalon dalam top 5 AME2016.
BARISAN artis yang tercalon dalam top 5 AME2016.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Pencalonan top 5 Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME2016) menyaksikan Ayda Jebat tercalon dalam empat kategori, sekali gus menjadikannya artis paling banyak menerima pencalonan.

Empat kategori itu adalah Drama MeleTOP menerusi drama bersiri M.A.I.D., Pelakon MeleTOP, Lagu MeleTOP (Siapa Diriku) dan Penyanyi MeleTOP.

Ayda ketika ditemui mengakui terkejut dan tidak pernah menyangka tercalon dalam kategori Lagu MeleTOP dan Penyanyi MeleTOP.

“Ketika fasa pertama pencalonan saya sudah terkejut. Apabila diumumkan sebagai seorang daripada top 5, lagi terkejut.

“Melihat senarai finalis untuk kategori lagu MeleTOP dan Penyanyi MeleTOP, terasa diri ini kerdil apatah lagi Datuk Siti Nurhaliza turut dicalonkan,” katanya.

Sambung Ayda, dia bagaimanapun bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang mengundinya sehingga tercalon.

“Terima kasih kepada peminat yang tidak jemu me­nyokong saya selama ini. Pencalonan ini bukti kerja keras mereka.

“Selain peminat, media banyak membantu menaikkan nama dan kerjaya saya,” katanya.

Ditanya mengenai Anuge­­rah Top Top MeleTOP kategori wanita yang digondolnya pada AME tahun lalu, Ayda menganggap ia sebagai rezeki.

“Kalau ada rezeki lagi, alhamdulillah. Jika sebalik­nya, tidak mengapa. Andai menang lagi, ia adalah kerana kerja keras dan usaha peminat saya,” kata Ayda.

Pelakon, Shaheizy Sam juga tidak kurang hebatnya apabila tercalon dalam tiga kategori iaitu Bintang Filem MeleTOP, Fesyen MeleTOP dan Filem MeleTOP.

Lebih menarik, bagi kategori Filem MeleTOP, dua filem lakonannya iaitu Polis Evo dan Manisnya Cinta di Cappadocia turut dicalonkan.

Selain Ayda dan Sam, antara nama lain yang mendominasi carta lima pencalonan akhir adalah Datuk Siti Nurhaliza, Zizan Razak, Nabil Ahmad, Emma Maembong, Johan, dan Syamel AF2015.

Rata-rata mereka menguasai tiga kategori bagi 16 kategori yang dipertandingkan meliputi filem, lima kategori TV & online, empat kategori selebriti, dua kategori radio dan tiga kategori muzik.

Tidak hanya membariskan nama-nama besar, AME2016 turut menampilkan wajah baru sebagai calon top 5 antaranya Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, pelakon Za­hirah Macwilson, Mark Adam, Azrel Ismail, Hafreez Adam, Ezad Lazim dan Mira Filzah.

Bagi Syamel yang pertama kali dicalonkan dalam AME, dia mengakui teruja apabila disenaraikan dalam tiga kategori.

“Bagi saya kalau tercalon dalam satu kategori pun sudah memadai. Namun, apabila diumumkan nama saya ‘sangkut’ dalam tiga kategori saya terkejut dan sangat teruja.

“Sebagai penyanyi baru, saya tidak menyangka sokongan peminat sehebat ini. Terima kasih saya ucap­kan kepada peminat yang mengundi nama saya,” kata­nya yang tercalon dalam kategori Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP dan Artis Baru MeleTOP.

Anugerah tahunan yang diadakan buat kali ketiga ini turut menampilkan Nabil Ahmad, Neelofa, Jihan Muse dan Datuk AC Mizal sebagai pengacara.

Bertemakan ‘Satu Undian, Seribu Senyuman’, AME2016 berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur pada 28 Februari depan dan bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) bermula jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 12:38 PM
Digital NSTP Subscribe