CAPCOM perkenal dua versi asal Resident Evil dipertingkatkan grafik.
CAPCOM perkenal dua versi asal Resident Evil dipertingkatkan grafik.
Oleh Hazril Md. Nor

Berpeluang memegang watak protagonis dalam permainan video klasik bukanlah peluang yang selalu ada. HAZRIL MD NOR menyokong inisiatif Capcom menaik taraf judul klasik Resident Evil yang popular suatu ketika dulu.

Judul pertama Resident Evil (RE) yang dikeluarkan pada 1996 mungkin tidak lagi relevan jika dikaitkan dengan permainan video lebih moden dan canggih. Namun, itu tidak mematahkan semangat Capcom untuk menerbitkan semula permainan video genre seram digilai ramai suatu ketika dulu.

Berjudul Resident Evil HD Remaster, peminat tegar francais berkenaan kini mampu tersenyum selepas penantian sekian lama.

Dengan menaik taraf beberapa faktor utama seperti grafik dan kawalan, sudah cukup untuk menarik perhatian peminat terutama genre seram.

Di permulaan plot, anda mengawal protagonis Chris Redfield atau Jill Valentine yang juga anggota polis bertujuan menyiasat siri pembunuhan di rumah agam berdekatan bandar Raccoon.

Namun, nasib malang menimpa mereka apabila terperangkap dalam rumah agam yang penghuninya adalah zombi.

Tugas anda seterusnya ialah mencari punca di sebalik kejadian aneh itu berikutan ujian virus T dijalankan oleh syarikat Umbrella.

Dalam versi HD penuh ini, semuanya kelihatan seakan ‘hidup’ apabila anda akan merasai ketakutan yang nyata melalui atmosfera, pertembungan dengan zombi dan muzik seram.

Bukan setakat itu, permainan ini juga sukar kerana anda mempunyai jumlah peluru yang terhad di samping perlu menyelesaikan teka-teki yang juga sebahagian elemen permainan.

Bagi peminat tegar keluaran pertama RE, penulis yakin anda akan menyukai permainan genre seram mengimbau kembali nostalgia ini.

Untuk pemain baru, judul ini mampu memenuhi cita rasa anda yang ingin mencuba permainan video klasik.

Dalam perkembangan yang sama, Resident Evil Zero (RE 0) dilihat sebagai inisiatif serupa dalam francais berkenaan. Peminat veteran yang dahagakan koleksi klasik dalam versi HD selaras dengan pemodenan industri permainan video pasti menyukai keluaran ini.

Ini kerana RE 0 bukan saja hebat pada dasarnya bahkan ia turut dilengkapi sistem baru yang tidak hadir dalam versi asal.

Kehadiran karakter baru yang menerajui watak protagonis, Billy Coen dan Rebecca Chambers berganding bahu mengharungi sekumpulan zombi menandakan persinggahan dari versi asal berkonsepkan perseorangan.

Antara ciri yang patut dipuji sudah tentunya sistem barangan untuk kedua-dua karakter. Mempunyai rakan seperjuangan di sisi memudahkan anda menyimpan barang dan senjata yang diperlukan dalam ruang terhad.

Namun, anda turut dikecewakan kerana RE 0 tidak mempunyai sistem ‘item box’ untuk menyimpan barang tidak perlu di satu tempat khas.

Hal ini memaksa anda meninggalkan barang berkenaan di satu tempat dan kemudian perlu kembali untuk mengambilnya. Tapi hakikatnya, judul ini patut dicuba kerana visualnya sangat menarik selain membawa anda kembali ke era kegemilangan permainan video genre seram suatu ketika dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 12:56 PM