AP

Melbourne: Seperti Serena Williams yang beraksi sebelumnya, Novak Djokovic melangkah ke satu lagi final Terbuka Australia selepas menang 6-1, 6-2, 3-6, 6-3 ke atas pilihan ketiga, Roger Federer pada separuh akhir, semalam.

Beberapa jam sebelum itu di Arena Rod Laver, Serena hanya tinggal selangkah untuk mengumpul satu lagi gelaran Grand Slam selepas mengatasi Agnieszka Radwanska 6-0, 6-4 pada separuh akhir perseorangan wanita dan dia langsung tidak mampu dicabar oleh bintang Poland yang menduduki tangga ketiga dunia itu.

Jika juara enam kali, Serena menang pada final menentang pilihan ketujuh, Angelique Kerber esok, dia pasti menyamai rekod 22 kemenangan Grand Slam dalam acara perseorangan wanita yang dicatat Steffi Graf, rekod dalam era Terbuka dan catatan kedua terbanyak dalam sejarah, di belakang Margaret Court yang mengumpul 24 kejuaraan.

Petanda mengenai kekalahan pilihan ketiga Federer yang juga pemenang 17 Grand Slam itu terpancar sejak awal lagi.

Lawannya Djokovic yang kini melangkah ke final Terbuka Australia buat kali keenam, menang semua lima pertemuan antara mereka dan berjaya mengekang pergerakan Federer pada set pertama dan kedua.

Set pertama hanya mengambil masa 22 minit walaupun sebahagian besar peminat terutamanya wanita memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Federer.

Djokovic menamatkan saingan dalam tempoh dua jam 19 minit apabila pukulan kilas Federer terkandas di jaring. Djokovic yang menang tiga gelaran Grand Slam musim lalu, mengatasi rekod pertemuan antara mereka dengan 23-22 sepanjang 45 perlawanan.

“Memang saya bermain baik di dua set pertama dan itulah yang diperlukan jika anda menentang Roger,” kata Djokovic. “Dia mempamer aksi cemerlang pada kejohanan ini dan hanya tewas satu set. Saya bermain dengan rentak baik serta tumpuan tinggi.”

Federer berkata, dia tidak terkejut dengan persembahan Djokovic.

“Saya pernah melihat Novak bermain seperti ini sebelum ini,” katanya. “Memang sukar untuk menyekatnya kerana pada masa sama anda perlu memikirkan permainan sendiri. Dia mampu menang tanpa anda sempat bersedia ... dan sukar bagi kita untuk bangkit.”

Pada perlawanan akhir Ahad ini, Djokovic akan berdepan pemenang pertemuan separuh akhir antara pilihan kedua, Andy Murray dan Milos Raonic hari ini.

Sementara itu, Serena menjadi pemain pilihan untuk menang ke atas Angelique di final nanti dan ia bukan sekadar berasaskan kepada persembahan semasa kedua-dua pemain.

Bintang Amerika Syarikat itu meneruskan persembahan cemerlangnya di separuh akhir Terbuka Australia dan dia juga menang semua enam final yang disertainya di Melbourne Park. Kini dia memburu kejayaan ketujuh di gelanggang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 8:41 AM