SCHA Alyahya.
SCHA Alyahya.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Memenuhi janjinya, tahun ini pelakon dan pengacara Scha Alyahya, 33, kembali berlakon selepas kali terakhir beraksi pada 2013 menerusi drama Jodoh.

Keputusan itu dibuat Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya selepas mengambil kira keadaan puteri sulungnya, Lara Alana yang kini berusia 18 bulan.

“Sudah sampai masanya saya kembali aktif berlakon. Sebelum ini masa tidak mengizinkan, lagipun Lara masih kecil. Sekarang dia sudah besar, jadi saya boleh buat kerja lain.

“Kebetulan pula watak yang ditawarkan berbeza daripada sebelum ini. Kalau boleh kemunculan semula ini saya tidak mahu lagi dibayangi watak seperti dalam Awan Dania dan Prebet Jamilah,” katanya.

Lakonan Scha dapat disaksikan menerusi drama Isteri Vs Tunang bermula 1 Februari ini di saluran Astro Ria.

Mengulas lanjut perkara itu, isteri kepada pelakon dan pengacara terkenal Awal Ashaari ini mengakui gementar menunggu reaksi penonton.

“Bukan apa, sudah tiga tahun saya tidak berlakon. Sepanjang tempoh itu, ramai bintang baru muncul dan menjadi kegilaan ramai.

“Saya tidak mahu cakap mengenai keupayaan kerana setiap pelakon ada kelebihan dan pengikut tersendiri,” katanya.

Meskipun sudah lama tidak beraksi, Scha bersyukur apabila namanya masih diingati peminat.

“Saya tetap sama macam dulu. Setiap pelakon itu ada kelebihan masing-masing. Cuma, pada kedudukan sekarang saya akur dengan kemunculan ramai pelakon baru yang menjadi pelapis kepada pelakon sedia ada.

“Soal persaingan pula, sampai bila-bila pun akan ada. Paling penting sekarang, saya mahu mengukuhkan nama seperti Erra Fazira, Umie Aida, Eja dan ramai lagi.

“Walaupun tidak aktif, saya masih ada peminat,” katanya.

Scha mengakui lakonan sudah sebati dengan jiwanya malah kecenderungannya lebih kepada bidang itu berbanding cabang seni lain.

“Jika saya tidak berlakon macam mana mahu dapatkan kepercayaan pelbagai pihak untuk melantik saya menjadi duta produk?

“Sebab itu saya perlu aktif dan kekal relevan dalam industri. Namun, itu tidak bermakna saya mesti terima setiap tawaran yang datang. Kalau boleh, tahun ini saya nak pertingkatkan kualiti dalam lakonan dengan menerima karya bermutu,” katanya.

Teringin berlakon dengan suami

Bercerita mengenai lakonannya dengan Hisyam Hamid, Scha berkata drama Isteri Vs Tunang menggandingkan mereka buat pertama kalinya.

Meskipun masing-masing sudah berkeluarga, mereka tidak ada masalah dalam mencari keserasian malah status itu memudahkan lagi proses penggambaran.

“Kami tahu tanggungjawab masing-masing, jadi segalanya jadi mudah. Setiap kali datang ke lokasi, kami fikir soal kerja.

“Mulanya ada juga rasa risau apabila memikirkan penerimaan penonton dan orang sekeliling. Bukan apa, bergelar isteri kena jaga hati banyak pihak,” katanya.

Dalam masa sama, Scha turut meluahkan hasrat mahu berlakon dengan suaminya.

“Ikutkan saya lebih suka berlakon dengan Awal. Saya pernah sebut perkara ini, tetapi dia kurang berminat.

“Buat masa sekarang lakonan bukan keutamaannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 10:55 AM