Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Tiga lelaki dan seorang wanita tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan memiliki dadah jenis Ecstacy seberat 25 kilogram (kg) dan Methamphetamine seberat 10.9 kg di rumah di Kampung Baru Mantin, Nilai, dekat sini pada 17 Januari lalu.

Tertuduh, Sim Kok Chai, 44; Thai Cheng Meng, 38: Leong Chee Keong, 40 dan Koo Shu Tian, 32 mengangguk faham pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Asyida Abd Rahim.

Bagaimanapun tiada pengakuan yang direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan niat bersama memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 10.9 kg di rumah bernombor 198, Kampung Baru Mantin, 2.20 petang pada 17 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh didakwa dengan niat bersama memiliki dadah jenis Ecstacy seberat 25 kg di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi dua pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) dan Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Mahkamah menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K Rinisha Priyya manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 2:57 PM