FILEM Boboiboi menyaksikan watak utama mempunyai kuasa ‘super’ baru.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Bakal menemui peminat di pawagam seluruh negara pada 3 Mac ini, filem Boboiboy The Movie menjanjikan kisah lebih hebat dan beremosi.

Bukan saja memperkenalkan beberapa watak baru, hero cilik dalam filem terbitan produksi Animonsta Studios itu turut dibekalkan kuasa ‘super’ baru.

Namun, Boboiboy The Movie bukan kesinambungan daripada siri animasi Boboiboy yang ditayangkan di TV3 setiap Selasa hingga Jumaat, jam 5 petang.

Kali pertama siri animasi itu diangkat ke layar perak, Boboiboy The Movie mengetengahkan kisah persahabatan yang pastinya menyentuh hati penonton.

Walaupun belum ditayangkan di pawagam, pengarah dan penulis skrip Boboiboy Nizam Razak berkata, pihaknya sudah merancang untuk menghasilkan dua lagi filem watak animasi popular itu.

“Idea untuk filem kedua sudah ada. Sebenarnya hasrat kami menghasilkan filem Boboiboy sudah ada sejak awal kemunculan animasi berkenaan,” katanya.

Menurut Nizam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, beberapa kajian dilakukan antaranya untuk menyentuh emosi penonton.

“Kisah Boboiboy The Movie bukan saja untuk kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga boleh menontonnya.

“Kami yakin filem ini dapat memuaskan penonton kerana diselitkan dengan babak bertarung, pengembaraan dan sedih sekali gus menarik peminat baru Boboiboy,” katanya.

Nizam berkata, Boboiboy bukan saja animasi nombor satu tanah air tapi turut mempunyai ramai peminat di Indonesia, Singapura serta Filipina.

“Siri Boboiboy ditayangkan di 16 negara di Asia dan di Timur Tengah. Baru-baru ini, Animonsta Studios dalam perbincangan dengan syarikat produksi di Kazakhstan untuk menayangkan filem serta siri Boboiboy di negara itu.

“Justeru, kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak produksi luar untuk memperkenalkan Boboiboy kepada penonton di serata dunia,” katanya.

Lebih membanggakan, Nizam berkata, Animonsta Studios bakal mempromosikan filem Boboiboy The Movie di Tokyo Anime Award Festival 2016 pada Mac ini.

“Biarpun filem ini belum ditayangkan, kami sudah menerima jemputan untuk menyertai festival itu,” katanya.

Filem Boboiboy The Movie masih mengekalkan pelakon alih suara, Nur Fathiah Diaz (Boboiboy), Anas Abdul Aziz (Adu Du dan Probe), Dzubir Mohamed Zakaria (Gopal), Nur Sarah Alisya (Yaya), Wong Wai Kay (Fang) dan Yap Ee Jean (Ying).

Sementara itu, filem ini turut menyaksikan penampilan khas penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana dan AG.

Manakala lagu Masih Di Sini nyanyian Bunkface dan Di Bawah Langit Yang Sama oleh D’Masiv diangkat sebagai lagu tema Boboiboy The Movie.

Watak baru dalam filem ini pula kumpulan makhluk asing Tengkotak yang terdiri daripada Bora Ra, Gaha Naz, Cici Ko, Yoyo Oo, Kiki Ta serta robot purba Klamkabot.

Filem Boboiboy The Movie juga akan ditayangkan di Indonesia pada 13 April ini.

Siri televisyen Boboiboy juga boleh disaksikan di saluran TV3, setiap Sabtu pada jam 10 pagi.

Maklumat lanjut mengenai filem Boboiboy The Movie boleh melayari laman web www.boboiboythemovie.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:00 AM