JADI diri sendiri bawa karakter Nilam dalam drama Kahwin Muda.
Oleh Ramlah Zainal


Berbanding Emma Maembong, adik­nya, Chacha terlebih dulu menceburi bidang lakonan menerusi drama Mimpi Cinderella dan Kau yang Terindah pada 2012. Namun, Chacha terpaksa akur, namanya tidak sepopular kakaknya itu.

Enggan dibandingkan dengan Emma, pelakon muda ini terus berusaha mengukuhkan namanya dalam bidang lakonan. Hampir empat tahun berlakon, ternyata ramai mula buka mata dengan bakat pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland ini.

Terbaru, Cacha menjayakan watak utama drama bersiri Kahwin Muda yang bakal bersiaran di Tonton First pada Mac nanti. Lebih menarik, dia digandingkan dengan pendatang baru yang kian mendapat perhatian, Fadlan Hazim.

Pemilik nama sebenar Siti Aisyah Ismail, 19, ini berkata, dia terima menerima tawaran drama itu kerana ia terbitan produksi Erma Fatima.

“Semua pelakon mahu bekerja dengan Erma. Apabila ditawarkan menjayakan drama ini, saya terus bersetuju.

“Saya suka karakter Nilam kerana boleh jadi diri sendiri. Nilam anak manja dan dia sangat menyayangi teman lelakinya sehingga nekad berkahwin pada usia muda.

“Cabaran terbesar drama ini adalah saya perlu tukar karakter mengikut perkembangan watak Nilam daripada seorang pelajar sekolah kepada isteri dan kemudian bergelar ibu. Syukur, dengan bantuan pengarah dan pelakon lain, saya berjaya menjiwai watak ini,” katanya.

Mengenai gandingannya dengan Fadlan pula, Chacha mengakui selesa bekerja dengan pelakon muda itu.

“Fadlan seorang yang ringkas dan gila-gila. Kami serasi dalam cerita ini. Kami sudah buat yang terbaik seperti yang dikehendaki skrip dan terpulang kepada penonton untuk menilai hasilnya.

“Bagi saya drama ini menarik ditonton kerana ia bercorak kekeluargaan. Harap ia mendapat sambutan apabila ditayangkan kelak,” katanya.

Drama Kahwin Muda turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Esma Daniel, Fazlina Ahmad Daud dan Sherlie Merlis.

Selain drama itu, Chacha memaklumkan ada beberapa lagi projek telefilem dan drama lakonannya akan bersiaran tahun ini.

“Saya juga akan membintangi sebuah filem April nanti.

“Selepas program The House berakhir, ada juga pihak menawarkan saya, Emma dan Yaya menjayakan program lain, tetapi biarlah kami berehat dulu,” katanya.

Belum ada teman istimewa

Sebelum ini Chacha sering dianggap gadis yang suka bersosial dan mudah jatuh cinta dengan ramai penggiat seni.

Mengupas perkara itu, Chacha berkata jejaka yang pernah dikaitkan hanyalah kawan biasa dan setakat ini dia belum ada teman istimewa.

“Apa salahnya saya berkawan dengan ramai orang? Saya terlalu muda untuk bercinta. Buat masa ini saya mahu fokus pada karier terlebih dulu,” katanya.

Ditanya pencapaiannya dalam bidang seni, Chacha berkata, dia berpuas hati dengan kerja kerasnya selama ini.

“Sudah sampai masa saya memperbaiki mutu lakonan dan melangkah lebih jauh. Saya tak mahu berada di takuk lama dan kenalah berusaha lebih gigih selepas ini,” kata pelakon drama Kifarah Mistik dan Oh My English! Class Of 2015 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:01 AM