JANGAN hanya suka bersolek tanpa ketahui asas perlu dilakukan.

Ada lelaki menjaga wajah sebaik wanita. SHUHADA MANSOR kongsi rutin asas perlu dilakukan sebelum memulakan solekan.

Bagi gadis yang pentingkan penampilan wajah, kita sering mendengar keluhan me­ngenai solekan nampak kusam, bedak tidak sekata, kulit muka kering dan sebagainya. Pelbagai aduan dan masalah diutarakan tanpa kita tahu masalah sebenar.

Untuk pengetahuan anda, ambil tahu kaedah asas sebelum solek penting bagi memastikan wajah terhindar daripada kotoran yang boleh menyebab­kan jerawat, jeragat, bintik hitam dan sebagainya. Malah, jika anda amalkan asas ini, solekan pasti kekal cantik pada wajah sepanjang hari.

CUCI MUKA

Sama ada lelaki atau perempuan, kita pasti tahu mencuci muka adalah rutin yang perlu dilakukan untuk membuang kotoran di kulit wajah. Pertama sekali bagi si gadis pastikan anda mencuci wajah menggunakan pencuci sesuai dengan kulit sebelum memulakan solekan.

Begitu juga bagi lelaki, cuci muka terlebih dulu sebelum meletakkan sebarang krim atau bedak asas pilihan anda.

GUNA SKRUB

Menggunakan skrub secara berkala adalah perlu untuk proses pengelupasan kulit. Ini kerana ia akan membuang sel kulit mati sepenuhnya sebelum memulakan solekan. Sapu rata skrub dengan urutan membulat pada wajah dan leher. Mahukan hasil terbaik? Bilas dengan air suam.

SERUM SUMBER VITAMIN

Mencuci akan menghilangkan minyak dan menjadikan wajah kering. Untuk seimbangkan kembali, sapukan serum wajah terlebih dulu sebelum menggunakan pelembap kulit agar kulit menyerap lebih banyak vitamin dan mineral.

Serum juga boleh digunakan selepas proses skrub wajah kerana lapisan kulit yang tertutup dengan solekan menyebabkan liang pori tersekat dan berminyak.

LEMBABKAN WAJAH

Pastikan anda menggunakan krim pelembap yang sesuai dengan jenis kulit untuk mengekalkan kelembapan. Pelembap kulit boleh membuatkan lapisan muka lebih lembut dan mencantikkan kesan solekan.

Jangan lupa untuk gunakan pelembap yang me­ngandungi pelindung SPF iaitu mampu menghalang sinaran cahaya matahari. Impak menggunakan pe­lembap pada wajah sebenarnya lebih berkesan dengan membuat kaedah urutan. Ini kerana serapan pelembap lebih cepat dan pantas berbanding sapuan biasa.

HALUSKAN KULIT SEBELUM MULA SOLEK

Terakhir sekali sebelum memulakan solekan sama ada solekan ringkas atau berat, seeloknya sapukan primer pada wajah. Primer ibarat pelapis kepada kulit untuk mengelakkan bahan solekan memasuki liang pori.

Untuk hasil lebih maksimum, cari primer yang mengandungi silikon sebagai bahan utama. Ini akan membuat­kan kulit lebih halus dan lembut dan yang paling penting, memudahkan proses solekan dan mencantikkan wajah dengan kelihatan lebih semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:01 AM