MOHD Nor Azam bersama pelatih akademi ketika sesi latihan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kelab Bola Sepak TMS Old Boys (TMS Old Boys) mahu melantik sekurang-kurangnya lima jurulatih baru bagi membimbing pelatih Akademi Bola Sepak TMS sepanjang tahun ini.

Presiden TMS Old Boys Mohd Nor Azam Abdullah berkata, pelantikan itu perlu dilakukan bagi memastikan program pembangunan dirancang sepanjang tahun ini berjalan lancar dan membuahkan hasil.

Katanya, ketika ini seramai 350 pelatih akademi berusia antara 8 hingga 16 tahun dibimbing 16 jurulatih yang mengendalikan sesi latihan di lapan pusat latihan seluruh Negeri Sembilan pada setiap Sabtu dan Ahad.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya lima lagi jurulatih bagi melancarkan program pembangunan bola sepak selain memperkasakan kualiti permainan berikutan jumlah peserta yang bertambah.

“Mereka berminat termasuk lelaki dan wanita boleh mengemukakan permohonan kepada kelab ini dan antara syarat kelayakan perlu memiliki Sijil Awalan Kejurulatihan yang dikeluarkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia),” katanya.

Menurutnya, TMS Old Boys berdaftar secara sah dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan tempatan dan mula beroperasi pada 2010.

Katanya, selain mendapat bimbingan pada sesi latihan mingguan, pelatih akademi turut didedahkan dengan kejohanan membabitkan peringkat akar umbi seluruh negara yang diadakan pada setiap musim cuti persekolahan.

Individu berminat boleh menghubungi beliau di talian 012-3967472.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:07 AM