Teks dan gambar Kusyi Hirdan

Berlari. Berlari. Berlari.

Julita Baharom, 44, dulu bekerja di bidang telekomunikasi, kemudian dia bersara awal. Wang bukanlah segala-galanya, sebaliknya kebahagiaan bersama keluarga yang lebih bermakna.

Dia nekad berhenti kerja kerana pasti rezeki Allah tetap ada pada hamba-Nya yang berusaha. Dari situ, anak kelahiran Melaka yang juga ibu kepada lima anak ini mendapat hobi baru yang tidak pernah dilakukannya iaitu menyertai acara larian. Ia bermula pada 2013 dan itulah pemula segala-galanya.

"Saya asalnya bukanlah mempunyai minat berlari, tetapi semuanya berlaku atas dorongan dan desakan kawan yang membuatkan saya 'terjebak'. Pada penyertaan pertama, saya daftar nama anak sekali," katanya.

Larian disertainya sekadar suka-suka, tetapi kemudian bertukar menjadi sesuatu yang lebih serius dan mencambahkan minat yang mendalam.

"Rasa tidak puas berlari sekadar tujuh kilometer (km), kemudian bertambah sedikit ke 10km. Walaupun saya bukanlah berlari laju, saya suka mencabar diri untuk menyudahkan larian 10km itu," katanya.

Selepas berjinak-jinak dengan minat berlari, Julita tahu dia perlu sentiasa berlatih dan menambah stamina dengan berjoging. Jadi dia mula mengajak suaminya, Adi Yazid dan anak-anak menemaninya berjoging di taman rekreasi bersama-sama.

"Untuk lebih membabitkan mereka, saya daftarkan mereka untuk turut serta dalam larian. Saya mahu wujudkan keluarga sihat dan cara hidup sihat untuk seisi keluarga.

"Saya juga pernah kekejangan otot ketika larian dan perkara biasa selepas larian 10km, kaki berasa sakit sedikit dan lutut rasa nak tercabut, mungkin faktor umur," katanya.

Anak sulungnya, Diyana gemar makan jadi untuk menjaga berat badan, dia rajin bersenam. Justeru selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka bersenam bersama-sama. Anak kedua, Ridhwan minat membina badan. Disebabkan badannya terlalu kurus, tidak setara dengan ketinggiannya jadi dia rajin ke gimnasium.

Anak ketiga, Dalila juga kini sudah menerima nasihat yang dia mesti rajin bersenam. Dini anak keempat pula mewakili sekolah acara larian trek selain aktif dalam permainan hoki, bola jaring dan futsal.

Tidak hanya anak-anak, paling menyeronokkan Julita apabila pasangan hidupnya turut punya minat serupa. Suami juga berlari demi menstabilkan berat dan mendapat badan yang sihat.

"Penyertaan larian bukanlah mengharapkan kemenangan, sebaliknya menghabiskan larian dan untuk tujuan amal. Ia juga untuk mencabar keupayaan diri. Saya selalu andaikan larian ini seperti saat hendak melahirkan anak, memang payah, tetapi apabila sampai ke garis penamat, kita rasa lega sebab dapat menghabiskannya," katanya.

Kawan-kawan Julita ramai yang memberi sokongan dan dia turut berjaya mendorong beberapa rakan untuk mengikut larian seperti dirinya.

Aida Nurdiyana, 20, anak sulung Julita yang kini belajar di tahun pertama bidang pengajian seni bina di Universiti Edinburgh juga mengakui seronok berlari kerana dapat meluangkan masa bersama ibunya di luar rumah.

"Dulu ketika masih belajar di kolej, hujung minggu lebih kepada berehat bersama keluarga. Jadi apabila dua bulan sekali menyertai larian, kami ada masa berdua untuk berlatih bersama dan ini kesempatan untuk bercerita perkembangan masing-masing," katanya.

Siapa lebih dulu menamatkan larian?

Gadis itu menjawab jujur, dia dan ibunya mempunyai rekod yang hampir sama.

"Ada masa saya habis dulu, ada masa ummi. Saya sebenarnya tidaklah aktif berlari dan ummi mempunyai stamina yang tinggi. Dulu pun ummi pernah bermain badminton hingga ke peringkat kebangsaan jadi tidak hairan jika ummi lebih hebat berlari daripada saya," katanya.

Selepas jauh meninggalkan tanah air, Diyana rindukan suasana dia menyertai larian bersama ibunya sebagaimana dia merindui kampung halaman.

"Sekarang saya sibuk dengan pelajaran dan tugasan, belum sempat mencari masa untuk menyertai acara larian. Insya-Allah saya akan turut berlari di sini apabila keadaan mengizinkan. Taman di sini juga cantik sekali, tentu seronok sekiranya dapat berlari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:00 AM