PIRAMID makanan untuk memastikan diet seimbang diamalkan dengan betul.
ELAK pengambilan mi segera secara kerap kerana ia tidak ada nutrien lain selain karbohidrat semata-mata.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Selain mudah dan cepat disediakan, mi segera juga enak dimakan sekali gus menjadi hidangan kegemaran kebanyakan individu tanpa mengira usia.

Pelbagai mitos yang mengatakan mengenai bahaya mi segera seperti mengandungi bahan kimia dan penyebab kanser.

Namun, jika dilihat dari segi fakta pastinya negara mempunyai standard kawalan keselamatan makanan dan tidak akan mengambil mudah untuk melepaskan produk yang mempunyai bahan terlarang serta berbahaya dijual di pasaran.

Menurut Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Dr Winnie Chee Siew Swee, menikmati mi segera adalah selamat namun yang menjadi isu apabila membicarakan mengenai aspek kesihatan.

“Perlu kita ketahui, mi segera sejenis mi dalam kumpulan bijirin, nasi, mi dan roti dalam piramid makanan yang perlu dimakan secukupnya.

“Tiada bahan bahaya dalam mi segera kerana secara umumnya ia mengandungi karbohidrat sepenuhnya. Sama seperti nasi dan roti, mi segera dihadam di dalam perut dalam tempoh antara tiga hingga empat jam.

“Kebiasaannya, mi segera dibuat kering dan agak keras. Sebungkus mi segera saiz biasa mengandungi 350 hingga 380 kalori iaitu bersamaan dengan dua cawan nasi,” katanya.

Disebabkan ia mudah dicerna dan tidak mengandungi nutrien lain, individu yang menikmati hidangan mi segera tidak akan berasa puas dan lambat kenyang.

Jika mi segera dijadikan sebagai hidangan utama, ini menyebabkan kecenderungan individu itu mengambil sajian lain lebih tinggi kerana belum berasa kenyang.

Kesan mi segera

Kesan mi segera berbeza kepada indvidu itu sendiri mengikut cara dimasak dan kekerapan ia dimakan. Selain itu, kesan pengambilan mi segera juga bergantung kepada keadaan kesihatan individu itu sendiri.

Jika individu itu mempunyai berat badan berlebihan dan kurang aktif, ia bukanlah pilihan makanan yang baik untuk dimakan dengan kerap.

“Ini kerana kebanyakan orang mengambil mi segera sebagai snek tambahan dan ia boleh menggemukkan. Tidak kurang juga ada orang menjadikannya sebagai hidangan utama.

“Disebabkan mi segera lambat kenyang, dikhuatiri menyebabkan kita berasa tidak puas dan mengambil hidangan lain selepas itu,” katanya.

Malah, mi segera juga tinggi kalori dan lemak melainkan ia tidak dikeringkan, tapi masih mengandungi karbohidrat semata-mata.

“Jika mi segera dimakan sebagai makanan tambahan, ia tidak membahayakan bagi individu yang tiada masalah kesihatan seperti obesiti serta aktif bergerak.

“Hidangan ini menjadi masalah jika ia dimakan sebagai menu utama setiap hari dan dimasak bersama serbuk perisanya. Ia juga menjadi kurang sihat apabila sajian mi segera tidak dicampur bersama tambahan nutrien lain seperti sayur dan ayam (protein),” katanya.

Selain itu, perkara yang perlu diambil perhatian ketika mahu menikmati hidangan mi segera ialah paket serbuk perisa yang disertakan dalam setiap bungkusan.

Ini kerana sodium yang terkandung di dalam perisa mi segera mengandungi hampir 1,000 miligram setiap hidangan, jika kuahnya dimakan habis.

Jumlah berkenaan memenuhi 50 peratus keperluan sodium yang disarankan setiap hari. Kebanyakan orang, ada yang tidak meng­gunakan serbuk perisa dan pastinya kurang sodium.

Kanak-kanak dan mi segera

“Bukan hanya orang dewasa, malah kanak-kanak juga menggemari mi segera. Bagi saya, tidak menjadi masalah jika sesekali mereka mahu menikmati mi segera.

“Namun, jangan makan mi segera setiap hari bersama campuran serbuk perisa yang disertakan di dalam bungkusan. Jika mahukan hidangan yang lebih menyihatkan untuk anak, lebih baik sediakan perencah sendiri dan

masukkan sayur serta protein seperti ayam dan telur bagi melengkapkan nutrien diperlukan si kecil,” katanya.

Elakkan pengambilan mi segera yang kerap kerana ia tidak mengandungi nutrien lain selain karbohidrat semata-mata. Ini kerana makanan yang tidak berbahaya ini boleh menjadi kurang sihat jika anak tidak mahu menjamah hidangan lengkap yang lain.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu lebih prihatin mengenai masalah kesihatan anak seperti obesiti dan kurang aktif agar mengurangkan pengambilan mi segera secara kerap.

Pada 2010, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan Malaysia sebagai negara keenam di Asia dengan kadar obesiti tinggi.

Kajian berkenaan melaporkan sebanyak 6.6 peratus kanak-kanak berusia tujuh tahun dan 13.9 peratus kanak-kanak berumur 10 tahun menghadapi masalah obesiti.

“Jika anak mempunyai masalah berat badan sebaiknya ambil makanan seimbang dan elakkan pengambilan snek tambahan seperti mi segera ketika lapar terutama waktu malam.

“Kurangkan pengambilan sodium atau serbuk perisa jika anak mahu menikmatinya dan pastikan ia ditambah dengan nutrien lain ke dalam hidangan,” katanya.

Pilihan makanan sihat

“Jika mahu menikmati hidangan sihat, kita sepatutnya tahu cara membaca label produk makanan yang ingin dibeli. Elakkan membeli makanan mengikut selera sebaliknya berdasarkan piramid makanan untuk memenuhi keperluan nutrien badan.

“Sebaik-baiknya, beli beras, bijirin atau roti mil penuh kerana bahagian luar yang diproses itu tidak dibuang dan kebanyakan vitamin serta mineral ada di bahagian luarnya,” katanya.

Selain itu, boleh cuba amalkan pengambilan beras perang. Jika kurang gemar menikmati beras perang boleh campur dengan oat ketika dimasak bagi mengubah rasa yang lebih enak dalam sajian.

Malah, cara berkenaan juga boleh meningkatkan kandungan serat yang membantu mempercepatkan rasa kenyang. Pada masa sama, ia juga mengandungi mineral dan vitamin selain membantu melancarkan pergerakan usus bagi mengelakkan masalah sembelit.

Pengambilan makanan tinggi serat sangat penting bagi membantu mengurangkan risiko mendapat masalah diabetes, obesiti dan kanser.

Ketika makan pastikan hidangan perlu lengkap mengikut panduan piramid makanan Malaysia yang mengandungi kombinasi pelbagai jenis makanan untuk memberi semua zat makanan yang diperlukan oleh tubuh.

Tiada satu pun makanan tunggal yang dapat membekalkan semua zat yang diperlukan. Tubuh memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang berbeza untuk memelihara kesihatan.

Sebaiknya, kurangkan pengambilan snek tambahan terutama bagi ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti dan diabetes.

Gaya hidup sihat

Apabila pelbagai jenis makanan dapat dibeli dengan mudah tanpa mengira masa, ia menyebabkan ada sesetengah daripada kita kurang mengambil berat mengenai hidangan yang dimakan.

“Disiplin menjaga kesihatan dan memilih makanan yang sihat sangat penting untuk menjaga kesejahteraan tubuh.

Ambil masa untuk bersenam biarpun sibuk dengan tugasan di pejabat. Jika berkesempatan, banyakkan bergerak ketika di pejabat atau melakukan aktiviti fizikal bersama keluarga di hujung minggu,” katanya.

Justeru, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan pemakanan seimbang serta gaya hidup sihat.

Semua pihak perlu bekerjasama bagi menyebarkan secara meluas melalui program yang dijalankan mengenai panduan pemakanan yang sihat kerana bukan mudah untuk mengubah sikap masyarakat biarpun mereka tahu mengenai kepentingannya kepada kesihatan tubuh sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 5:22 AM
Skip this ad x