SHAARAWY (kiri) cuba melepasi pemain Frosinone, Aleandro Rosi.
SHAARAWY (kiri) cuba melepasi pemain Frosinone, Aleandro Rosi.

Milan: Penyerang pinjaman Stephan El Shaarawy mengakui berterima kasih kepada Zlatan Ibrahimovic bagi jaringan hebatnya pada separuh masa kedua ketika AS Roma menewaskan Frosinone 3-1 awal pagi semalam sekali gus meraih kemenangan pertama di bawah kendalian jurulatih Luciano Spalletti.

El Shaarawy menyertai kelab Serie A itu minggu lalu selepas kelab Perancis Monaco memilih untuk tidak membeli penyerang berkenaan.

Namun situasi itu memberi tuah kepada Roma apabila pemain berusia 23 tahun itu yang berusaha untuk kembali menyertai skuad Itali bagi Euro 2016 di Perancis, menyambut hantaran pendek Ervin Zukanovic untuk mengatasi penjaga gol Nicola Leali dengan sepakan menggunakan tumit pada minit ke-48.

Radja Nainggolan memberikan Roma jaringan awal pada minit ke-18, namun Daniel Ciofani menyamakan kedudukan buat Frosinone enam minit kemudian.

Jaringan hebat El Shaarawy menaikkan semangat Roma namun jaringan selanjutnya untuk pasukan tuan rumah hanya berlaku menerusi Miralem Pjanic pada minit ke-84, yang menyaksikan Francesco Totti yang sudah lama tidak beraksi diturunkan sebagai pemain simpanan, kembali beraksi dengan penuh bergaya.

Kelab ibu negara berjaya merapatkan jurang dengan pendahulu Napoli kepada sembilan mata. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:33 AM