Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat penerbangan ihsan membawa bayi perempuan berusia tiga bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa sini, 10 pagi tadi.

Nur Amni Syahirah Abdullah diterbangkan dengan menggunakan helikopter model Agusta Westland AW139 ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Bayi berkenaan ditemani ibunya Nur Syafiqah Seman, 19, seorang doktor dan seorang jururawat dari Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II) di sini.

Penerbangan mengambil masa 90 minit dikendalikan juruterbang Leftenan Komander Maritim Mohd Ikmal Ridzuan, pembantu juruterbang Leftenan Maritim Mohd Azrol Saidi dan Kuater Master Udara Rohaizad Ramli.

Ibu Nur Amni, Nur Syafiqah berkata, anaknya disahkan menghidap jantung berlubang ketika berusia sebulan.

" Selepas dua bulan di HRPZ II, anak saya perlu menjalani pembedahan di Hospital Serdang secepat mungkin.

" Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 11:57 AM
Penerbangan ihsan oleh APMM membawa bayi sakit jantung berlubang. FOTO Muhamaad Razis Ismail