Anggota bomba mengangkat budak perempuan yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan. FOTO ihsan pembaca
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Budak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di belakang Sekolah Rendah Agama Parit Penghulu Benteng, Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, di sini, 4.45 petang tadi.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit bermain bersama-sama rakannya ketika waktu rehat sebelum terjatuh dalam lubang kumbahan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.54 petang dan tiba di lokasi pada jam 5.10 petang.

"Sebaik tiba di lokasi, kita dapati memang ada kanak-kanak terperangkap dalam lubang kumbahan itu.

"Terdapat air sedalam kira-kira 3.6 meter dan kita mengepam keluar separuh air kumbahan lalu mula memulakan misi mencari mangsa melalui keempat-empat lubang kumbahan," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dalam masa kurang seminit mencari, mangsa kemudian ditemui.

Katanya, selepas dikeluarkan dari lubang kumbahan terbabit, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Merlimau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 8:11 PM