Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din.
Pasukan forensik polis menjalankan siasatan di kedai emas yang cuba dirompak di Sungai Way petang tadi. - Foto Bernama
BERNAMA

Petaling Jaya: Dua perompak bersenjatakan tukul besi yang bertindak melemparkan serbuk cili ke arah pekerja kedai emas dalam cubaan merompak kedai itu, terpaksa berputih mata.

Cubaan merompak itu gagal apabila mereka melarikan diri selepas seorang pekerja kedai menekan penggera keselamatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian 3.15 petang tadi, kedai emas di Jalan 9A/13 Sungai Way, dimasuki dua perompak.

“Suspek dipercayai seorang lelaki dan seorang wanita memakai topi keledar bertutup penuh meluru masuk ke dalam kedai sebelum seorang daripadanya menabur serbuk cili ke dalam kedai," katanya di lokasi kejadian.

Beliau berkata ketika kejadian, ada empat pelanggan serta empat pekerja di dalam kedai emas berkenaan.

“Suspek wanita mencampakkan serbuk cili ke arah rak pameran kaca yang menyasarkan pekerja namun tidak mengenai mereka kerana ada penghadang kaca manakala suspek lelaki cuba memecahkan kaca rak pameran barang kemas dengan tukul besi beberapa kali, namun gagal.

"Seorang pekerja menekan alat penggera keselamatan dan sejurus penggera berbunyi, suspek bergegas melarikan diri dengan motosikal," katanya.

Menurutntya, tiada barang kemas berjaya dilarikan serta tiada pekerja atau pelanggan yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 10:26 PM