Zamzamzairani (tiga dari kiri) bersama Shazali (tiga dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian, kelmarin.
Zamzamzairani (tiga dari kiri) bersama Shazali (tiga dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian, kelmarin.

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) dan anak syarikatnya, Packet One Networks Malaysia (P1) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Celcom Axiata Bhd (Celcom) untuk memanfaatkan infrastruktur rangkaian sedia ada bagi menawarkan khidmat kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM dan Pengerusi P1, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, perjanjian itu adalah lanjutan perkhidmatan Backhaul Generasi Masa Depan (NGBH), lanjutan akses Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) oleh Celcom di samping perkhidmatan perayauan tempatan daripada Celcom kepada P1.

Beliau berkata, TM dan Celcom menjalin kerjasama sejak 2011 dan fasa berikutnya pada 2015 untuk mempercepatkan pelancaran penggantian rangkaian 4G Celcom melalui NGBH TM, sebagai usaha berterusan mengembangkan penempatan tapak Evolusi Jangka Panjang (LTE).

“Celcom sebaliknya menawarkan perkhidmatan perayauan domestik mudah alih kepada P1 dan ini membolehkan TM menjadi peneraju usaha ke arah penumpuan industri,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini, kelmarin.

Menurutnya, P1 yang kini dibangunkan sebagai cabang mudah alih pusat kecemerlangan mobiliti Kumpulan TM dijangka melancarkan produk mudah alih pertamanya tahun ini bagi melengkapkan jalur lebar tetap dimiliki.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazally Ramly berkata, pelanjutan perjanjian akses HSBB membolehkan syarikat itu menawarkan perkhidmatan jalur lebar untuk segmen perniagaan kepada pelanggan serta perniagaan kepada perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 5:02 AM