Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan pembaca
Khairul Najib Asarulah Khan


Rembau: Dua lelaki maut selepas lori dinaiki merempuh belakang treler di Kilometer 226.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran susur Pedas Linggi, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.24 pagi, lori dipandu Mohd Sharif Abdullah, 36, dan kelindan Mohd Noor Akimi Yacob, 21, dikatakan hilang kawalan dan merempuh belakang treler membawa muatan getah.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Halim Abdul Malik berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.44 pagi dan dua jentera dengan kekuatan 14 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing disahkan meninggal dunia dan operasi mengeluarkan mayat kedua mangsa mengambil masa 15 minit.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 10:52 AM