Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Lima puluh lapan individu dihadapkan ke Mahkamah Syariah di sini, hari ini atas pelbagai dakwaan antaranya mengajar tanpa tauliah, mengembangkan dan mengambil bahagian dalam kepercayaan ajaran Millah Abraham.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah.

Bagi pertuduhan utama, Farzlie Rahmat, 40; Hamatun Mezi Wahab, 49; dan Sehadle Sa'aamah, 35; didakwa cuba mengajar perkara berhubung dengan agama Islam iaitu berkaitan (surah al-Maidah ayat 3) tanpa tauliah.

Mereka juga didakwa cuba menjelaskan doktrin berhubung agama Islam yang berlawan dengan hukum syarak dengan mencampuradukkan kefahaman kandungan ayat Al-Quran dengan Injil.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh iaitu Nor Azri Baharudin, 48; Mohd Halimin Mohd Nasir, 40; dan Mohd Agus Abu Samah, 39; dituduh dengan sengaja membantu satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle.

Manakala semua tertuduh yang lain didakwa mengambil bahagian dalam majlis yang diadakan di bilik Sakura, International Youth Centre, Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini, pada 8.32 malam, kelmarin.

Kes akan disebut semula pada 8 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 8:36 PM
ANTARA pengikut ajaran Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli