MANGSA maut dalam kemalangan di Juru. FOTO ihsan JPAM
MANGSA maut dalam kemalangan di Juru. FOTO ihsan JPAM
Azma Razana Johari


Kepala Batas: Lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi hilang kawalan dan melanggar belakang treler di Kilometer 122 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini.

Dalam kejadian 8 malam tadi, mangsa, Teoh Chye Guan, 60, maut akibat parah di kepala.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Pegawai Bomba Hifni Mohd Shafir berkata, pihaknya menerima panghilan pada 8.12 malam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa yang berasal dari Bukit Mertajam sudah dikeluarkan oleh orang awam dari bawah treler berkenaan.

"Mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, di Juru seorang lagi lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan memasuki lorong kiri sebelum dilanggar treler di Kilometer 148.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan.

Dalam kejadian 8 malam tadi itu, mangsa, Tan Seng Hoo, 48, dalam perjalanan ke arah Bukit Tambun maut di tempat kejadian.

Sumber polis berkata, mangsa berasal dari Ayer Itam menunggang seorang diri dari arah Jambatan Pulau Pinang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa pada mulanya berada di lorong kecemasan cuba memotong sebuah motosikal lain di hadapanya.

"Bagaimanapun mangsa gagal memotong dan terbabas kelorong kiri sebelum dilanggar lori berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 10:12 PM