Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Selepas mengikat pemain kelahiran Argentina Gustavo Lopez, skuad Penyu menyambar pemain kebangsaan Lubnan Hassan Chaito untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Kehadiran pemain berusia 25 tahun yang boleh beraksi di posisi tengah dan serangan itu, sekali gus melengkapkan kuota pemain import Asia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu Arpin Draman berkata, pemain itu sudah berada di negeri ini sejak beberapa hari lalu untuk menjalani ujian kesihatan.

Menurutnya, pihaknya akan menandatangani kontrak dengan bekas pemain Ah-Shabab itu dalam tempoh terdekat ini.

“Kami bersetuju mengikat Hassan bagi menggantikan Mario Karlovic (Australia) yang kontraknya tidak disambung.

“Ketika ini kami sedang menunggu laporan perubatan sebelum mengikat kontrak,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pemain itu pernah mewakili Al-Ahed pada 2009 hingga 2013, Al-Ansar (2013-2014) dan terakhir bersama Al-Shabab.

Menurutnya, pihaknya berharap Hassan mampu menyinar dan menjadi nadi kepada pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim dalam Liga M nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:05 AM