Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengucapkan tahniah kepada legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun yang diabadikan dalam ‘Hall of Fame’ Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Tahniah Datuk Soh Chin Aun, Malaysia bangga dengan anda,” tweet Tengku Abdullah yang juga Tengku Mahkota Pahang.

Chin Aun, 65, juga dikenali sebagai ‘Tauke’, mengemudi barisan pertahanan negara bersama Datuk Santokh Singh pada era kegemilangan negara pada era 70-an hingga awal 80-an.

Pemain berasal dari Alor Gajah, Melaka itu seangkatan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan mendiang R Arumugam.

Chin Aun menikmati karier sebagai pemain yang berjaya selama dua dekad dan kemudian mencurahkan khidmatnya terhadap dunia bola sepak dalam pelbagai kapasiti.

Pada 1971, Chin Aun yang baru berusia 21 tahun menjadi ketua pasukan termuda dalam kelayakan Sukan Olimpik 1971 di Seoul, Korea Selatan dan antara pemain yang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Munich 1972.

Beliau juga menjadi ketua pasukan semasa pusingan kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980.

Chin Aun mewakili Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di peringkat kelab dari 1970 hingga 1980 sebelum berpindah ke Melaka FA dari 1981 hingga 1983 sebelum mengumumkan persaraannya daripada aktiviti bola sepak pada 1985.

Selain Chin Aun, legenda lain yang diabadikan AFC ialah Homayoun Behzadi (Iran), Yasuhiko Okudera (Jepun), Sun Wen (China), Hong Myung-bo (Korea Selatan), Ali Daei (Iran), Sami Al Jaber (Arab Saudi), Baichung Bhutia (India), Harry Kewell (Australia).

AFC mengumumkan senarai penuh peserta Hall of Fame, Jumaat lalu.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:05 AM