Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jangan pandang rendah. Pemain perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkiffli yang akan beraksi di Kejohanan Asia Berpasukan (Kelayakan Piala Thomas) menggesa agar rakan sepasukan supaya tidak memandang mudah cabaran Nepal dan Sri Lanka.

Menurutnya, walaupun skuad negara memiliki pemain ranking lebih tinggi berbanding dua negara berkenaan, semua yang dipilih beraksi di kejohanan berkenaan harus sentiasa fokus terhadap setiap perlawanan.

“Kita harus sentiasa ingat dengan kemampuan pasukan lain. Jangan fikir undian ini mudah, kalau boleh berikan yang terbaik untuk menjadi juara kumpulan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kelmarin undian yang diadakan di Hyderabad, India menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Piala Thomas, Jepun serta Sri Lanka dan Nepal.

Dalam masa sama, Zulfadli mengakui mereka akan cuba untuk memberi cabaran kepada Jepun walaupun hanya dibarisi pemain muda dan pelapis, baik dalam acara perseorangan mahupun beregu.

“Walaupun skuad kali ini dibarisi pemain pelapis, kita harus sentiasa bersemangat dan memberi tentangan kepada Jepun yang akan menghantar skuad utama. Jangan takut tidak kira siapa lawan kita,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersemangat atau tertekan selepas Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen yakin skuad ini mampu mara ke suku akhir, Zulfadli berkata, di atas kertas memang Malaysia mempunyai kelebihan namun tidak boleh mengambil mudah.

Zulfadli yang juga pemain bebas sudah memulakan latihan di BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara sejak semalam dan hari ini fasa terakhir sebelum berangkat ke Thailand Sabtu ini untuk beraksi di Grand Prix (GP) Emas Terbuka Thailand.

Juara remaja dunia itu dijangka berangkat ke Hyderabad selepas menamatkan aksi di kejohanan berkenaan bersama dua beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Amelia Alicia Anscelly yang turut beraksi di kelayakan Piala Uber.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:34 AM