Jamil Khir (kiri) dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Majlis Pengumuman Bonus Pendeposit Tabung Haji 2015. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pembayaran bonus sebanyak lima peratus kepada 8.85 juta pendeposit bagi tahun kewangan 2015.

Selain itu, bonus tambahan sebanyak tiga peratus juga diberikan kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, biarpun dalam persekitaran yang mencabar dan tidak menentu pada tahun lalu, prestasi kewangan TH kekal berdaya tahan dengan rekod pendapatan sebanyak RM4.47 bilion dan keuntungan bersih selepas zakat mencecah RM3.53 bilion.

Katanya, pendapatan dan keuntungan itu adalah yang tertinggi sejak 52 tahun TH beroperasi.

"TH akan mengagihkan RM3.23 bilion sebagai hibah atau bonus kepada pendeposit dan TH akan menyimpan sebanyak RM300 juta daripada keuntungan boleh agih tahun ini.

"Pembayaran bonus haji kali ini akan memberi manfaat kepada 8.23 juta pendeposit yang belum pernah menunaikan haji," katanya pada majlis pengumuman bonus pendeposit Tabung Haji 2015, di sini, sebentar tadi.

Tahun lalu, TH mengumumkan kadar bonus tahunan sebanyak 6.25 peratus dan tambahan bonus haji sebanyak 2.0 peratus bagi tahun kewangan 2014, kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan Haji.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 1:42 PM