Irfan Bakti (tengah) bersama pemain dan pegawai pada majlis pelancaran jersi dan memperkenalkan pemain kempen Liga Super 2016 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang. FOTO NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Oleh Azlan Muhammad Zain


FELDA United menyenaraikan 13 muka baru dalam senarai 27 pemain bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Beberapa tonggak luar dibawa masuk ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim untuk memperkuatkan The Fighters seperti Bobby Gonzales (Perak), Mohd Idris Ahmad (Perak) dan Mohd Ridzuan Abdunloh Pula (Kedah) dan Nor Fadzly Alias (ATM).

Namun sebahagian besar tonggak musim lalu dikekalkan seperti Mohd Shukor Adan, Ahmad Syamim Yahya, Christie Jayaseelan, Mohd Farizal Harun dan Thiago Augusto Fernandes.

Senarai penuh barisan pemain dan kejurulatihan The Fighters diperkenalkan di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Jengka, Pahang sebentar tadi.

STAR yang berkapasiti 20,000 tempat duduk bernilai RM92 juta akan menjadi gelanggang rasmi pasukan dalam Liga-M musim ini.

Turut diperkenalkan tiga warna jersi pasukan menggunakan jenama FBT dengan warna oren kekal menjadi jersi utama diikuti warna biru dan putih

Majlis pengenalan pasukan disempurnakan Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 11:16 PM