DEADPOOL dikenali dengan watak nakal, gila-gila dan kelakar.
REYNOLDS menjalani proses solekan selama enam hingga lapan jam untuk wajah berparut.
REYNOLDS terpaksa menunggu 11 tahun untuk berlakon dalam filem ini.
Susunan Riadz Radzi


Pelakon Kanada, Ryan Reynolds, 39, pernah dinamakan sebagai Lelaki Paling Seksi oleh majalah People pada 2010.

Namun, dalam filem terbarunya Deadpool, Reynolds yang berlakon sebagai ‘superhero’ bernama Deadpool dan Wade Wilson dikutuk hanya kerana wajahnya disolek menjadi buruk.

Dalam filem berkenaan, wajahnya dikatakan seperti buah avacado dan peta topografi negeri Utah di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, suami pelakon Blake Lively ini gembira dengan situasi itu.

Bagi merealisasikan wajah berparut itu, Reynolds terpaksa melalui proses solekan selama enam hingga lapan jam, tetapi dia langsung tidak merungut.

“Bagi saya, melakonkan watak Deadpool adalah impian saya sejak 11 tahun lalu. Dalam tempoh itu, hampir setiap minggu saya menghubungi syarikat produksi dan bertanya, boleh tak kita buat filem ini? Jadi, proses solekan begini adalah mudah bagi saya,” katanya.

Pembangunan filem Deadpool yang juga watak daripada komik terbitan Marvel Comics sudah dimulakan pada Februari 2004 oleh New Line Cinema. Bagaimanapun, pada Mac 2005, New Line Cinema ‘membekukan’ projek berkenaan hingga 20th Century Fox berminat untuk menerbitkannya.

Pada Mei 2009, 20th Century Fox menyerahkan filem berkenaan kepada penulis skrip sebelum Tim Miller dilantik sebagai pengarah pada April 2011.

Penggambaran dilakukan di Vancouver, Kanada pada Mac hingga Mei tahun lalu.

Reynolds berkata, membawa watak Deadpool juga membuatkan isteri dan anak perempuannya tidak selesa.

“Isteri saya tidak selesa melihat saya dengan wajah sedemikian. Anak perempuan saya yang berusia setahun akan menangis apabila melihat saya,” katanya.

Selain Reynolds, turut berlakon dalam filem ini ialah Morena Baccarin, Ed Skrein, T. J. Miller, Gina Carano dan Brianna Hildebrand.

Deadpool mengisahkan mengenai bekas anggota Unit Khas, Wade Wilson yang menghidap kanser. Dia kemudian menjadi subjek kepada satu eksperimen untuk menyembuhkan penyakitnya itu.

Namun, ujian itu menjadikan Wilson mempunyai kuasa penyembuhan dan tidak lut senjata serta menjadikan wajahnya berparut.

Selain itu, pemikirannya turut menjadi tidak stabil, kelakar dan suka bercakap.

Dengan perwatakan baru yang dikenali sebagai Deadpool, Wilson memburu pihak yang memusnahkan kehidupannya sebelum itu.

Watak Deadpool pernah muncul dalam filem X-Men Origins: Wolverine pada 2009 yang turut dilakonkan Reynolds, tetapi kali ini tampil dengan watak berbeza.

Berbanding Deadpool dalam X-Men Origins: Wolverine, filem ini mengolah watak Deadpool dengan lebih terperinci sama seperti dalam komik.

Deadpool ditayangkan di negara ini mulai Khamis depan.

Sementara itu, watak ‘superhero’ bukan asing bagi Reynolds. Pada 2011, dia dipilih membawa watak Green Lantern namun filem berkenaan gagal di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:02 AM