Paris: Maria Sharapova (gambar) mahu mengekalkan peluangnya beraksi di Olimpik Rio dengan memastikan namanya berada dalam senarai skuad kebangsaan Russia yang bertemu Belanda dalam saingan Piala Fed hujung minggu ini.

Tetapi hakikatnya dia mungkin tidak perlu memerah keringat.

Nama atlet wanita terkaya dunia itu terselit antara empat pemain skuad Russia untuk aksi Kumpulan Dunia di Moscow tetapi dia berkemungkinan besar tidak dapat bermain gara-gara kecederaan lengan dialaminya ketika tewas kepada Serena Williams pada suku akhir Terbuka Australia.

Berdasarkan peraturan, pemain yang mahu beraksi di Rio harus disenaraikan mewakili negaranya sebanyak tiga kali sebelum temasya bermula.

Setakat ini, pemain berusia 28 tahun itu hanya muncul dua kali sejak 2012 - tahun yang menyaksikannya memenangi pingat perak Olimpik London.

Maria diberi amaran oleh Presiden Tenis Russia Shamil Tarpishchev yang mengingatkan dia mungkin terlepas aksi di Brazil jika tidak berada dalam senarai Piala Fed.

Tetapi, Maria yakin dia tidak akan dapat bermain di Moscow kerana mahu memulihkan lengannya terlebih dulu.

“Saya akan tetap ke Moscow, untuk menjadi sebahagian daripada pasukan, tapi tak fikir dapat bermain,” katanya.

Maria mengotakan janjinya apabila gambarnya yang hadir di majlis makan malam sebelum Piala Fed di Moscow disiarkan media sosial. Dia dilihat duduk bersama rakan sepasukan, Svetlana Kuznetsova, Ekaterina Makarova, Darya Kasatkina dan ketua pasukan, Anastasia Myskina.

Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) yang memantau Piala Fed, berkata Maria tidak perlu bermain untuk melengkapkan kriteria Olimpik.

“Peraturan menyebut pemain hanya perlu disenaraikan dalam pasukan Piala Fed sebanyak tiga kali tapi tidak pula menyatakan mereka perlu bermain,” kata jurucakap badan induk berkenaan. “Seseorang pemain itu tidak perlu turun beraksi untuk layak ke Olimpik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:04 AM