FOTO Amir Abd Hamid
Amir Abd Hamid di Turki

“WALAUPUN negara kami dalam pergolakan, namun satu masa nanti saya tetap akan pulang,” kata Mohd Khatib, 40, ditemui di Reyhanli, Turki.

Lelaki tanah Syam itu kini diberi tanggungjawab sebagai pengurus tujuh sekolah pelarian kendalian Muslim Care Malaysia di daerah ini dan Idlib, Syria.

Dalam sesi suaikenal sebelum kuliah Subuh bersama 17 sukarewan Muslim Care, beliau menceritakan permulaan dia terbang ke Malaysia pada 2013 untuk minta bantuan.

"Sebelum ini, saya hanya mengetahui Malaysia menerusi rakan Facebook (FB).

"Saya dapat tahu negara itu (Malaysia) pemurah dan ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) aktif membantu negara dalam kesulitan termasuk Syria.

"Dalam proses pencarian untuk mencari bantuan, saya amat meminati Malaysia dan Allah SWT mudahkan apabila saya dapat nombor telefon rakyat Malaysia pernah belajar di Syria iaitu ustaz Nazmi Abdul Karim (Exco Pendidikan, Tarbiah dan Dakwah Muslim Care)," katanya.

Pemilik kilang makanan di negara asalnya itu berkata, dia yakin akan bertemu dengan pihak boleh membantu pelarian Syria di Reyhanli dan mengambil keputusan mengambil penerbangan ke Malaysia bersama seorang rakannya.

Sementara itu, Nazmi yang menterjemahkan penceritaan lelaki Syria yang memiliki enam anak itu berkata, dia terkejut apabila Mohd Khatib telefon dan menyatakan sudah berada di Malaysia untuk bertemunya.

"Dia datang ke pejabat di Shah Alam dalam keadaan diri tidak terurus dan memberitahu hasratnya mahu bantuan untuk pelarian Syria di daerah ini.

"Pada mulanya saya was-was. Namun, saya yakin selepas ditunjukkan kerja sukarelawan dilakukan untuk rakan senegaranya.

“Apatah lagi melihat budak ditembak ketika lalu di lereng bukit membawa bekalan makanan," katanya.

Beliau berkata, Muslim Care bersetuju memberikan sumbangan RM30,000 dan pihaknya berpuas hati apabila Ahmad Khatib menghantar rakaman pemberian pakaian musim sejuk kepada pelarian kanak-kanak Syria hasil sumbangan itu.

Ustaz Nazmi berkata, hubungan baik dengan Mohd Khatib sejak 2013 berlanjutan sehingga sekarang berikutan sifat amanah lelaki itu untuk membantu pelarian termasuk menguruskan sekolah Muslim Care.

"Sebelum konflik, dia memang kaya harta, memiliki kilang membuat makanan yang kini sudah musnah di bom dan rumah besar namun dirampas rejim Basyar.

"Dia pernah ditembak dan ramai ahli keluarganya terkorban dalam konflik bersenjata di Syria.

"Mohd Khatib sangat bersyukur mengenali Malaysia yang memiliki rakyat pemurah membantu saudara kesusahan di negara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:24 PM