Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak memeriksa 64 premis dan mengeluarkan 198 notis kompaun terhadap awam atas kesalahan merokok di zon larangan.

Mereka dikesan melakukan kesalahan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), stesen petrol dekat R&R dan hentian pengangkutan awam dalam operasi dua hari di seluruh negeri.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, operasi dilakukan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Katanya, ia bertujuan memastikan semua kawasan yang sudah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok dipatuhi.

Menurutnya, dalam operasi bersepadu dijalankan 145 pegawai penguat kuasa kesihatan dengan bantuan PDRM itu, 198 notis 32B dikeluarkan dengan jumlah kompaun RM49,500.

"Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan merokok kompaun RM250 dikeluarkan kepada pesalah. Mereka boleh datang bayar kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah di Malaysia dalam 30 hari.

"Pesalah yang gagal berbuat demikian akan diambil tindakan mahkamah dan jika didapati bersalah boleh didenda maksimun RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dr Juita berkata, daripada 198 notis 32B yang dikeluarkan itu, 104 daripadanya membabitkan kesalahan merokok di kawasan R&R, notis di kawasan hentian awam (51), stesen minyak bersebelahan R&R (30) dan 13 notis lagi membabitkan kesalahan merokok orang belum dewasa (OBD).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 11:33 PM