HANNAH.
Susunan Ardini Sophia Sina

Mulanya Hannah Al Rashid, 30, hanya memasang impian untuk bekerja dengan United Nations Development Programme (UNDP) yang berpusat di New York, Amerika Syarikat tetapi permohonannya ditolak.

Bagaimanapun, kekecewaannya terubat apabila ditawarkan menjadi model klip lagu serta iklan kemudian melangkah pula sebagai pelakon dalam rantaian sitkom Awas Ada Sule.

Ternyata pembabitan itu membuka mata­nya untuk terus bergiat dalam lakonan dan tidak lagi terfikir untuk mencari pekerjaan lain, malah melupakan hasratnya untuk bekerja dengan UNDP.

Bagi Hannah, dia terima takdirnya dan meneruskan rezeki yang dianugerahkan kepadanya. Baginya, apa yang ada sekarang adalah anugerah.

“Sejak awal pembabitan, kerjaya inilah yang menjadi punca pendapatan dan menyara kehidupan saya. Selagi ada kudrat dan peluang, saya akan teruskan kerjaya ini.

“UNDP sudah lama berlalu. Keseronokan dan kesibukan membuatkan saya leka dan memilih menjadi pelakon. Kalau rezeki saya di UNDP, sekarang ini saya bekerja di sana dan tidak berada di sini. Panggilan yang tidak kunjung tiba itu mungkin petanda kerjaya saya bukan di tempat itu,” katanya.

Tidak pernah mengikuti kelas lakonan, Hannah belajar teknik lakonan ketika membintangi filem pertamanya, Hafalan Shalat Delisa. Dia perlahan-lahan mula memahami erti sebenar lakonan apabila sering ditegur dan dimarahi.

Pelakon Halfworlds yang kini disiarkan di HBO ini menganggap berlakon sebagai rutin harian dan tidak timbul isu sukar kerana jiwanya sudah sebati dengan lakonan.

“Berlakon umpama kegiatan harian yang sering kita lakukan seperti senaman. Apabila kita biasa bersenam, lama-kelamaan ia menjadi perkara biasa dan mudah dilaksanakan.

“Begitu juga dengan lakonan. Walaupun jalan cerita yang saya lakonkan itu lain daripada sebelumnya, rutinnya sama. Apabila ada babak memerlukan saya menangis, saya hanya perlu memikirkan perkara menyedihkan. Dengan cara itu, air mata pasti mengalir.

“Apabila sudah tahu teknik dan cara berlakon, semua jadi mudah. Walaupun watak yang diberikan sangat mencabar, kita berupaya merealisasikan karakter itu dengan ilmu. Syukur saya tidak mengambil masa lama untuk belajar,” katanya.

Sebagai penggiat seni, Hannah menyedari kepentingan menyeimbangkan antara mengukuhkan nama dan pada masa sama cuba menjadi kreatif mendalami karakter.

Bagi Hannah, dia terima tawaran berlakon filem bukan kerana bayaran lumayan sebaliknya mahu membuktikan dia bukan sekadar pelakon picisan yang hanya mampu membintangi klip lagu serta sinetron.

“Filem adalah peluang menunjukkan bakat sebenarnya dan tujuan saya membabitkan diri dalam filem untuk memacu kreativiti. Saya mahu buktikan bahawa saya juga ada bakat berlakon dalam naskhah tayangan di panggung wayang. Saya mencari kepuasan dalam setiap lakonan.

“Dari segi kewangan, sudah pasti televisyen memberikan bayaran lumayan. Saya cari duit menerusi televisyen dan mengasah kreativiti dalam filem. Saya mahu berlakon dalam banyak filem tetapi tidak boleh memilih sembarangan.

“Tidak kisah melakonkan watak pembantu, saya melihat skrip, jalan cerita, pengarah dan pelakon yang turut terbabit dalam sesebuah karya itu.

“Bekerja dengan orang berpengalaman memberikan kita lebih banyak ilmu sekali gus mengukuhkan kerjaya kita,” katanya.

Hannah membuktikan dirinya pelakon yang menjaga kualiti apabila sanggup melakonkan babak dibelasah dua lelaki dalam filem terbarunya, Skakmat. Memegang watak Mami Tuti, dia berlawan dengan aktor Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman.

Katanya, dia dimaklumkan filem itu hanya sekadar drama tapi tiba-tiba diubah dan diterap elemen aksi hingga membuatkan dirinya terkejut dan kecewa dengan tindakan sutradara yang memintanya melakonkan adegan bergaduh.

“Saya kesal kerana hanya dimaklumkan perkara itu ketika penggambaran dimulakan. Saya baru saja habis penggambaran filem aksi dan berharap untuk berehat menerusi filem ini tetapi apa yang terjadi sebaliknya.

“Bagaimanapun, saya menganggap perkara itu sebagai cabaran dalam kerjaya. Saya setuju dengan permintaan itu dan melakonkan sendiri babak itu tanpa bantuan pelagak ngeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:02 AM