ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
Oleh Syazwan Msar

Raub: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar tayar belakang sebuah treler di Kilometer 356 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Shaiful

Shari Ab Sawab, 35, dari Kampung Semangat, Maran, meninggal dunia di

tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, mangsa yang memandu kereta Honda Accord dari arah Bentong menuju ke bandar ini.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa yang memandu seorang

diri difahamkan gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri

dan melanggar penghadang jalan.

"Akibat perlanggaran itu, kenderaan mangsa memasuki pula laluan

bertentangan sebelum melanggar tayar belakang sebuah teler yang

membawa muatan habuk kayu.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu segera menghubungi pihak

berkuasa sebelum anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Raub

tiba kira-kira 15 minit kemudian untuk mengeluarkan mangsa yang

tersepit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 12:51 PM