Hamzah Osman


Langkawi: Dua ratus pelancong tempatan dan asing yang mahu pulang selepas bercuti sempena Tahun Baru Cina terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di sini, apabila syarikat penerbangan Rayani Air membatalkan dua penerbangan Langkawi-Kuala Lumpur akibat masalah teknikal, hari ini.

Tinjauan mendapati turut terkandas 13 kakitangan syarikat Alam Ria Kids dari Putrajaya yang tiba seawal 7.30 pagi di LTAL untuk pulang menerusi penerbangan 11.10 pagi selepas lima hari berada di sini.

Jurucakap kumpulan itu, Jaslia Samad, 25, berkata, kedatangan mereka ke Langkawi kali ini memberikan pengalaman pahit, malah kecewa kerana dimaklumkan pembatalan penerbangan pada saat akhir.

"Jam 7.30 pagi kami dah ada di sini dan lihat pada papan maklumat tiada notis pembatalan atau ditunda.... dan apabila beberapa rakan buka emel baru nampak info yang meminta penumpang hadir ke pejabat jualan Rayani Air di sini untuk mendapatkan maklumat.

"Sebaik tiba di pejabat... petugas beritahu penerbangan dibatalkan," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, ekoran pembatalan itu, petugas syarikat ada menawarkan dua pilihan penyelesaian iaitu pemulangan wang atau menaiki feri dan bas untuk pulang ke Kuala Lumpur.

"Kebanyakan penumpang mahu penerbangan gantian menggunakan syarikat penerbangan lain, tapi setakat ini belum ada kata putus dari syarikat mengenai perkara itu dan kami masih menunggu," katanya.

Seorang lagi penumpang, Shahrizan Harris, 35, dari Kuala Lumpur, turut kecewa apabila syarikat penerbangan itu memaklumkan pembatalan pada saat akhir dan memberi banyak masalah kepada penumpang.

"Saya dan keluarga datang ke LTAL pada 9 pagi dan terkejut apabila mendapati kaunter pendaftaran masuk tiada petugas.

"Anak saya demam dan pembatalan penerbangan ini memberi lebih masalah kepada saya dan keluarga untuk sampai ke rumah... dan esok saya mula kerja," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhidmatan Pelanggan Rayani Air di LTAL, Muhammad Faiz Ghazali, ketika ditemui mengesahkan dua penerbangan syarikat itu bagi sektor Langkawi-Kuala Lumpur pada 11.10 pagi dan 6.20 petang hari ini terpaksa dibatalkan berikutan masalah teknikal.

"Kapal terbang sebenarnya sudah ada di LTAL tetapi menghadapi masalah teknikal menyebabkan tidak dapat terbang dan kami sedang berbincang dengan semua penumpang untuk penyelesaian.

"Kami menawarkan pemulangan wang atau perjalanan pulang menggunakan feri dan bas tempahan khas ke Kuala Lumpur kepada semua penumpang yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 3:31 PM
PETUGAS pejabat jualan Rayani Air memberi penjelasan kepada penumpang mengenai pembatalan penerbangan. FOTO Hamzah Osman
PETUGAS pejabat jualan Rayani Air memberi penjelasan kepada penumpang mengenai pembatalan penerbangan. FOTO Hamzah Osman
ANTARA 200 penumpang menyerbu pejabat jualan Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk mendapatkan penjelasan berikutan pembatalan dua penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur. FOTO Hamzah Osman
ANTARA 200 penumpang menyerbu pejabat jualan Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk mendapatkan penjelasan berikutan pembatalan dua penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur. FOTO Hamzah Osman