NOH bakal berkongsi pentas dengan SO7.
Oleh Georgie Joseph


Penyanyi kelahiran Miri, Sarawak ini membuktikan dia mampu mencipta kejayaan berganda dengan muncul solo mahupun berkumpulan.

Sama ada menggunakan jenama Noh Salleh atau Noh Hujan, pemilik nama penuh Mohd Noh Salleh, 30, cukup konkrit. Ibaratnya, jika tanpa dirinya maka band dianggotainya mungkin akan tempang.

Namun, penyanyi Angin Kencang itu tidak pernah berasakan dirinya begitu hebat. Hakikatnya, dia masih merendah diri sama seperti ketika band itu baru mengecap kegemilangan dulu.

“Walaupun rezeki cukup berpihak kepada kerjaya solo, saya tidak rasa ia lebih besar kesannya berbanding saya bersama Hujan. Keutamaan saya sentiasa pada Hujan dan saya lebih ‘hidup’ apabila bersama mereka.

“Dimensi apabila berkarya secara solo dengan berkumpulan juga jelas berbeza. Jujur, saya jauh lebih puas apabila berkarya bersama band,” katanya.

Noh punya satu magis yang amat ketara iaitu nyanyian sempoinya. Biar sempoi, namun jelas sekali ada sesuatu yang membuatkan pendengar mudah terkesan dengan suaranya.

Bagaimanapun, penyanyi itu sentiasa tahu vokalnya bukan yang terbaik andai ramai memuji sebaliknya. Kerana itu, menerusi album kelima Hujan yang akan dilancarkan kelak, Noh mengakui lebih fokus kepada vokalnya.

“Selama ini, Hujan berkarya dengan matlamat untuk tampil dengan melodi yang sedap didengar semata-mata. Saya sudah berkali-kali mengatakan Hujan jenis pemuzik yang berkarya ‘ikut hati’ saja.

“Saya sendiri menyanyi ikut sedap telinga dan tahu sebenarnya daripada segi teknikal, banyak yang tidak betul. Terus terang, saya lebih suka menyanyi secara langsung dan lebih ‘hidup’ di pentas berbanding rakam lagu di studio,” katanya.

Sudah siap daripada segi material dan hanya perlu menyelesaikan proses ‘mastering’ serta ‘mixing’, menurut Noh banyak pembaharuan untuk album baru itu.

“Pertama, tentu sekali daripada segi nyanyian apabila kali ini saya lebih menitikberatkan teknikal vokal. Saya tidak boleh janjikan vokal hebat yang ‘pitch-perfect’ namun saya lebih bekerja keras kali ini.

“Lebih istimewa, hala tuju material terbaru kami juga kembali kepada melodi seperti lagu kami awal-awal dulu. Kami mengem­balikan semula elemen indie ringan berbeza de­ngan material sebelum ini yang lebih banyak disuntik metal,” katanya.

Hakikatnya, lagu dimuatkan dalam album itu adalah baki kepada karya ciptaan mereka yang terkumpul selama ini.

“Hanya ada dua tiga lagu baru yang kami muatkan daripada keseluruhan 12 lagu dan selebihnya adalah karya tersimpan sepanjang 10 tahun Hujan ditubuhkan. Rugi rasanya kalau mensia-siakan 25 lagu yang sudah sedia ada dalam simpanan. Bagaimanapun, lagu itu kami rakam semula dengan susunan yang lebih segar dan kualiti terbaik,” katanya.

Impian berkongsi pentas dengan Sheila On 7 Termakbul

Apa yang pasti, Noh sudah tidak sabar merealisasikan impian lamanya untuk berkongsi pentas dengan band legenda dari seberang, Sheila On 7 (SO7). Terpilih menjadi artis pembuka untuk konsert kumpulan itu pada Mac nanti, Noh sangat teruja.

“Saya peminat tegar SO7 dan mengimpikan peluang berkongsi pentas dengan mereka sejak dulu. Syukur, penganjur konsert itu menawarkan saya peluang itu biarpun sekadar jadi artis pembukaan.

“Memang tak fikir panjang langsung kerana ia peluang yang tak harus dilepaskan. Sedikit ralat juga kerana saya bukan tampil bersama Hujan kerana kebetulan anggota lain sibuk dengan persiapan album,” katanya yang dijadualkan membuat persembahan selama 30 hingga 45 minit pada konsert itu.

Sementara itu, wakil penganjur iaitu Pengarah Urusan Mawlaya Network Sdn Bhd, Rezuan Ramli, mengakui jualan tiket Konsert 20 Tahun SO7 sangat memberangsangkan.

“Dalam tempoh dua minggu saja, lebih 1,000 tiket sudah terjual menerusi laman web. Ia memberi petanda konsert itu akan mencapai kejayaan yang kami sasarkan. Kami menjangkakan dalam 7,000 sehingga 10,000 penonton akan hadir pada konsert itu nanti. Sesi ‘meet & greet’ peminat bersama SO7, bagaimanapun masih dalam perancangan,” katanya.

Konsert 20 Tahun SO7 akan berlangsung 27 Mac ini di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur. Tiket berharga RM75, RM110, RM150, dan RM190 sudah mula dijual di laman web www.ilassotickets.com serta cawangan Rock Corner dan Victoria Music di Sungei Wang, Armcorp Mall, Tropicana Mall, The Curve, Midvalley, dan Subang Parade, sejak 15 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:02 AM