Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Polis Perak menumpaskan sindiket curi kenderaan terutama lori dengan memberkas enam suspek berusia 19 hingga 36 tahun dan merampas pelbagai kenderaan dianggarkan bernilai RM600,000 dalam beberapa serbuan sejak dua minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata, berdasarkan laporan dan maklumat yang diperoleh, pihaknya melancarkan Ops Lejang Khas serta berjaya membuat tangkapan pertama pada 12 November lalu di Taman Silibin di sini.

"Susulan itu, beberapa lagi serbuan dilakukan pada 15, 17 dan 19 November lalu di beberapa lokasi termasuk Kampung Tawas, Pusing dan Bercham serta lima lagi suspek ditahan.

"Lima daripada suspek yang diberkas didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, samun bersenjata, dadah dan banyak lagi," katanya dalam sidang media di Balai Polis Pasir Puteh, di sini hari ini.

Menurutnya, sindiket curi kenderaan teebabit didapati mencuri lori untuk tujuan meleraikannya sebelum dijual sebagai alat ganti, selain akan mengubah nombor pada enjin dan badan lori untuk digunakan pada lori lain.

Katanya, pihaknya kini juga memburu empat lagi ahli kumpulan penjenayah terbabit yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:50 PM